Segulung ijazah mungkin menjamin kerjaya yang baik, namun bukan sesuatu yang mustahil untuk membina masa depan cemerlang dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan semangat juang tinggi.
Prinsip hidup itu dipegang anak jati Kuala Rompin, Muhammad Dzaki Hashim, 42, yang kini berjaya sebagai seorang chef sejak dua tahun lalu.
Dia kini berkhidmat di atas Diamond Princess, sebuah kapal mewah milik syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat yang membawa 400 penumpang mengelilingi dunia.
Bagi anak kedua daripada empat beradik itu, kejayaan dikecapinya hari ini tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya atas usaha dan semangat serta keberanian untuk membolehkan dia melangkah lebih jauh.
Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin itu memulakan kerjaya dalam bidang perhotelan sejak berusia 19 tahun di Lanjut Golden Beach Resort sebelum menjadi pembuat roti di Hotel Club Med Bali, Indonesia.
Pengalaman bekerja di beberapa resort dan hotel ternyata belum memuaskan hati Muhammad Dzaki dan dia mengambil keputusan untuk berhijran ke Kobe, Jepun.
“Di Kobe, saya mula dengan membuat roti dan kemudiannya bekerja di Hotel Sheraton sebagai pembantu tukang masak selama enam tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Muhammad Dzaki berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Nurshuhada Abdullah, 43, yang dikenalinya ketika bekerja di Bali dan mereka dikurniakan tiga anak.
“Dengan wang belanja sendiri, saya nekad ke Perancis untuk belajar masak di Ritz Escoffier selama hampir setahun, hingga lulus,” katanya.
Berbekalkan kelulusan yang ada, dia segera pulang ke Kobe dan menjadi chef di Hotel Westin.
Siapa sangka tuah menyebelahi anak muda itu apabila dia diberi tanggungjawab besar untuk menjadi koordinator makanan selama sebulan untuk pasukan England ketika Piala Dunia 2002. Dia dilantik sendiri oleh pengurus pasukan terbabit.
“Itu pengalaman manis dan cukup bermakna bagi saya. Dalam masa sama, saya dilantik menjadi chef pada usia 31 tahun di hotel itu.
“Belum pernah berlaku dalam sejarah kerana rakyat Jepun sendiri tak dapat menjadi chef ketika usia saya kerana paling awal mereka bergelar chef adalah pada usia 36 tahun,” katanya.
Diminta masak nasi lemak
Puas berkhidmat di Hotel Westin, Muhammad Dzaki kemudiannya kembali bekerja di Hotel Sheraton.
Sekali lagi tuah menyebelahinya apabila dia diminta menyambut ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin dalam siri lawatan baginda ke Kobe.
Dia juga berpeluang bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tak dapat nak gambarkan perasaan teruja masa tu, maklumlah dah lama tak jumpa orang Malaysia dan Tuanku sendiri pun gembira bila tahu yang saya anak Melayu.
“Saya ingat lagi bila baginda cakap nak makan nasi lemak. Saya chef makanan Perancis tiba-tiba kena masak nasi lemak. Saya usaha cari bahan, nasib baik ada resipi nasi lemak arwah mak. Alhamdullilah, dapat juga Tuanku rasa nasi lemak saya," katanya.
Tidak lupa keluarga
Tidak menafikan banyak cabaran yang terpaksa ditempuhinya ketika berada di negara orang, Muhammad Dzaki tetap tabah mengharungi kerjaya yang memerlukan dia menguruskan rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang dan agama.
“Setakat ini, saya dah keliling dunia sebanyak tiga kali dalam masa enam bulan. Selain cabaran untuk sesuaikan diri di atas kapal, saya seronok sebab berpeluang melihat dunia dan kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Menyentuh mengenai perancangan masa depannya, Muhammad Dzaki berkata, dia kini sedang merancang untuk membuka perniagaan di Kuala Rompin.
Berbekalkan pengalamannya, dia turut merancang untuk membukukan kisah kehidupannya yang mungkin boleh dijadikan rujukan serta meniup semangat dan keyakinan kepada anak-anak bangsa, terutamanya yang tinggal di kampung.
“Walaupun saya tak pandai bahasa asing tetapi ia tak halang saya keluar merantau. Sekarang saya boleh cakap bahasa Inggeris dan Jepun. Kehidupan di negara orang banyak mengajar dan merubah cara pemikiran saya,” katanya.
Biarpun berjauhan, dia tidak pernah melupakan bapanya, Hashim Harun, 69, di kampung dan sering berhubung menerusi WhatsApp.
“Saya pun selalu hantar gambar anak-anak untuk ayah lepaskan rindunya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment