Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 21, 2016

[RAUB] IMPI RUMAH LEBIH SELESA

Impi rumah lebih selesa 



Bekas imam Masjid Kampung Kuala Semantan di sini, Che Ali Che Ismail, 71, memohon rumah usangnya diganti baharu bagi membolehkannya hidup lebih selesa.

Keadaan rumahnya yang hanya menanti rebah kini menjadi viral di Facebook dan hasil bantuan penduduk setempat, Sinar Harian menemui warga emas yang tinggal di rumah dibina sendiri sejak 52 tahun lalu.

Che Ali berkata, dia membina sendiri rumah pusaka arwah isterinya itu dengan menggunakan kayu yang dibeli selain sebahagian dindingnya dibina dari kayu hutan dan rotan.

Bagaimanapun, katanya keadaan zink rumah itu berlubang, lantai dan tiang mereput mengakibatkan sebahagian rumahnya senget dan tidak selamat diduduki.

“Kawasan ini sering dinaiki air setiap kali hujan lebat dan menyebabkan tiang yang ditanam mereput kerana tidak bersimen selain berlaku pergerakan dan hakisan akibat banjir,” katanya.

Tiada pendapatan tetap

Che Ali berkata, dia tinggal bersendirian sejak kematian isteri dan tidak mampu membaiki rumah itu kerana keadaannya yang makin uzur.

“Kalau pakcik larat, pak cik boleh baiki sendiri. Tapi pakcik dah tak boleh panjat untuk baiki atap bocor.

“Mana yang boleh dicapai, pakcik tampal juga sikit-sikit dengan zink. Pak cik dah tak mampu nak baiki lagi. Tambahan pula pakcik ada darah tinggi dan perlu makan ubat tiap hari,” katanya.

Katanya, lebih memeritkan, dia kini sudah tidak ada pendapatan tetap kerana kebun getah miliknya sudah ditebang untuk penanaman semula.

Pendapatan tetapnya sebanyak RM700 sebulan sebagai imam juga sudah tiada selepas berhenti memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupan dengan wang simpanan dan bantuan yang dihulurkan anak-anak yang ada menjenguknya di rumah itu.

“Pakcik harap akan dapat rumah lebih selesa jika anak dan cucu balik kampung,” katanya.

Peruntukan tidak cukup

Che Ali mendakwa, sebelum ini, dia mendapat tawaran dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang datang untuk membantu dan memaklumkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk membina rumah tidak mencukupi.

Menurutnya, perkara itu boleh dibincangkan kerana dia boleh memberi wang tambahan dengan menggunakan sedikit duit simpanannya sebelum ini.

Dia berkata, keadaan rumahnya yang uzur itu, ia bukan sahaja tidak selesa untuk didiami anak-anaknya yang pulang ke kampung, tetapi boleh membahayakan cucu-cucunya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Semantan, Zulkifli Dan berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengunjungi Che Ali, namun dikatakan Che Ali menolak bantuan terbabit kerana tidak mengharapkan bantuan perbelanjaan harian, sebaliknya mahukan rumah yang selamat dan selesa.

Justeru, Zulkifli berharap bantuan segera dapat diberikan mana-mana pihak bagi membina rumah baharu yang lebih baik dan selamat.

“Dalam tempoh kira-kira 15 tahun menjadi imam, dia banyak berjasa kepada masyarakat dan seharusnya masalahnya ini dapat diselesaikan segera.

“Kita tak mahu perkara buruk berlaku terutama apabila ribut dan banjir apatah lagi dia tinggal seorang diri dan jauh dari jiran lain,” katanya.



 

0 comments:

share2