DUNGUN - Lebih 22,200 pelawat dari dalam dan luar negara telah mengikuti program pendidikan kesedaran awam dan publisiti berhubung kehidupan penyu di Terengganu sepanjang tahun lepas.
Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Jabatan Perikanan negeri Rusman Rusdy berkata daripada jumlah tersebut, hampir 400 orang adalah pelawat antarabangsa dan kebanyakannya dari Eropah.
"Sepanjang tahun lepas, kita telah mengadakan lebih 50 program pendidikan dan kesedaran awam kepada para pelawat yang melawat pusat pemuliharaan penyu di negeri ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Rusman pelawat-pelawat dari dalam negara kebanyakannya terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi dan juga badan bukan kerajaan.
Beliau berkata, program yang paling berjaya pada tahun lepas ialah pelepasan anak penyu agar sebanyak 2,000 ekor oleh Sultan Terenggganu Sultan Mizan Zainal Abidin di pantai Kerteh, Kemaman.
Beliau berkata, pada tahun lepas, pihaknya juga telah menerima seramai sembilan orang sukarelawan dari Jepun untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan penyu dan menggunakan 47 pekerja upahan bermusim untuk kerja-kerja mengambil dan menanam telur penyu untuk dieram serta menjaga kawasan rizab.
Dalam pada itu, Rusman berkata keprihatinan golongan sasar terhadap keselamatan penyu masih lagi kurang walaupun pelbagai langkah dan usaha telah diambil oleh pihak berkuasa untuk memberi pendidikan serta kesedaran.
Bagaimanapun beliau berkata bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya akan terus mengadakan pertemuan dan berdialog untuk memberi kesedaran kepada golongan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment