Kerajaan negeri diminta mengkaji faedah dan risiko ke atas aktiviti perlombongan serta pengeksportan bauksit dalam tempoh moratorium selama tiga bulan yang bermula 15 Januari lalu.
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, langkah itu perlu bagi mengelak masalah kepada penduduk akibat operasi pemunggahan bauksit yang gagal dikawal sebelum ini.
Menurutnya, perlombongan bauksit perlu dihentikan jika hasil kajian mendapati risikonya lebih besar daripada faedah.
“Ini risiko yang perlu diambil kerajaan bagi memastikan penduduk tempatan tidak terus dihimpit masalah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mengulas hari pertama moratorium Jumaat lalu, beliau berkata, orang ramai khususnya di kawasan terjejas teruk sebelum ini lega dengan keadaan terkawal dan persekitaran yang bertambah baik.
Beliau berkata, penduduk tidak lagi berdepan masalah debu, lumpur merah dan lori yang sibuk di jalan raya selain mengharapkan situasi itu berterusan.
Andansura turut menganggap tempoh moratorium berkenaan mencukupi untuk mempersiapkan peraturan serta garis panduan baharu supaya aktiviti itu lebih sistematik.
“Tempoh tiga bulan memadai untuk menambah baik peraturan tetapi mungkin agak singkat untuk kerja pemulihan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment