Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 2, 2016

[BERA] HARAP ADAM HAMKA KUAT SEMANGAT


Harap Adam Hamka kuat semangat


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kehidupan adik Muhammad Adam Hamka Norisam yang baru berusia 13 bulan tidak seperti bayi-bayi normal lain apabila terpaksa bergantung pada ubat-ubatan untuk terus sihat.

Disahkan menghidap penyakit Sindrom Pfeiffer sejak lahir, Adam Hamka perlu menjalani beberapa pembedahan bagi membaiki dan membentuk semula tempurung kepala.

Bapanya, Norisam Mhd Jaafar, 35, berkata, beberapa kali anaknya itu menjalani pembedahan kecil dan yang terbaru pada September lalu telah menjalani pembedahan besar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Alhamdulillah. Banyak perubahan pada diri Adam Hamka walaupun kami terpaksa pantau keadaannya 24 jam, termasuk bagi susu menerusi tiub setiap tiga jam sekali.

“Saya dan isteri (Khariyah Shamsudin, 39) pun kena sedut kahak guna peralatan khas pada Adam Hamka,” katanya.


Perlu tengkorak organik

Pembedahan besar yang pertama itu berjaya membentuk sebahagian tempurung kepala Adam Hamka namun perlu menjalani beberapa pembedahan lain untuk melengkapkan tempurung kepala di bahagian ubun-ubun, termasuk di bahagian mata.

Namun, Norisam memberitahu, pembedahan itu hanya boleh dilakukan sekiranya anaknya mengalami pertumbuhan yang sihat dengan penambahan berat badan ideal.

Katanya, jika pemeriksaan rawatan susulan mendapati anaknya sihat dan kuat semangat untuk menghadapi pembedahan seterusnya, pihak PPUM akan meletakkan tengkorak organik pada Adam Hamka.

“Mereka juga akan pasang satu alat (besi) yang dilekatkan pada tengkorak Adam Hamka untuk tarik tempurung di bahagian mata bagi betulkan mata dia.

“Sekarang ini, mata Adam Hamka terkeluar dari tempurungnya sebab tengkorak kepala dia cepat matang sebelum usia sepatutnya. Sebab itu mata Adam Hamka terpaksa ditutup guna pita lekat supaya tak kering,” katanya.


Perbelanjaan cecah RM2,000 setiap bulan

Sementara itu, Khariyah memberitahu, perbelanjaan anaknya itu mencecah RM2,000 setiap bulan selain perlu membeli susu dan lampin pakai buang, ubat-ubatan dan beberapa peralatan perubatan seperti saluran tiub yang mesti kerap ditukar.

Menurutnya, walaupun dia mahu melihatnya anaknya itu membesar seperti bayi normal, namun dia reda dengan keadaan Adam Hamka lebih-lebih lagi anaknya memberikan tindak balas seperti bayi lain.

“Sebelum ini, Adam Hamka dah boleh meniarap, mengesot dan berdiri. Tetapi lepas pembedahan hari itu, dia dah tak mampu nak buat macam dulu.

“Tapi dia masih bagi tindak balas yang baik dan selalu jalani terapi fisiologi untuk tolong gerakkan fizikal dia,” katanya.

Difahamkan, Adam Hamka perlu diberi susu khas yang berharga kira-kira RM45 per 400 gram dan memerlukan sekurang-kurang 12 tin pada setiap bulan.

Keadaan Adam Hamka yang mendapat liputan media sebelum ini banyak membantu mereka mengumpul dana bagi menampung kos pembedahan dan pembelian keperluannya.

Adam Hamka merupakan anak ketiga kepada pasangan suami isteri ini, sementara dua lagi anaknya masih bersekolah dan kini menetap bersama bapa Norisam dekat sini.

Norisam dan Khariyah terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada Adam Hamka, namun Norisam masih melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung keperluan keluarga mereka asalkan tidak berjauhan dengan Adam Hamka memandangkan anak istimewa itu tidak boleh diuruskan berseorangan.


0 comments:

share2