Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 4, 2016

BAYARAN RM500 UNTUK BANTU PERSEKOLAHAN ANAK


Najib Tun Razak


Kuala Lumpur - Bayaran khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam hari esok, diharap dapat membantu mereka khususnya yang mempunyai anak bersekolah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Insya-ALLAH, kerajaan akan membuat bayaran khas sebanyak RM500 kepada seramai 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan pada hari esok seperti yang diumumkan dalam ‪#‎Bajet2016.

"Mudah-mudahan dapat membantu terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak yang akan memulakan persekolahan," katanya dalam catatan beliau di laman Facebook dan Twitter.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2015 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pemberian khas itu diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat pada 2015.

Ia tertakluk kepada syarat bahawa pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh dan cuti separuh gaji serta Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2015.

Pegawai yang layak dibayar pemberian khas itu termasuk pegawai lantikan tetap, sementara, perkhidmatan kontrak dan guru interim serta pegawai bercuti separuh gaji.

Pemberian khas kepada kakitangan awam itu melibatkan peruntukan sebanyak RM645 juta, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa membentang Bajet 2016 pada 23 Oktober lepas.

Sementara itu, Najib dalam catatannya di blog NajibRazak.com, turut mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada para pelajar yang akan memulakan persekolahan mereka esok.

"Insya-ALLAH, esok anak-anak semua akan memulakan persekolahan setelah bercuti lama. Tentu ada ramai yang tidak sabar, terutamanya pelajar darjah dan tingkatan satu yang akan berdepan suasana dan bertemu rakan baru," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah juga tentu merasa sebak dan bangga.

Perdana Menteri turut mengucapkan selamat bertugas kepada para guru dan menyifatkan tugasan yang dilakukan amat murni dalam mendidik anak bangsa ke mercu kejayaan.

"Kepada anak-anak, sebelum melangkah masuk ke sekolah, cium tangan dan minta berkat ibu bapa, kerana restu ibu bapa amat penting sebelum kita memulakan sesuatu," katanya.


0 comments:

share2