Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 13, 2015

[TEMERLOH] ABANG RAYU ADIK PULANG


Abang rayu adik pulang


Seorang lelaki merayu adik perempuannya yang menghilangkan diri sejak tiga tahun lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga berikutan ibunya terlalu merinduinya.

Nor Azemizam Othman, 38, berkata, sejak berlaku sedikit perselisihan faham antara adiknya Noor Intan Bizura Othman, 31, adiknya itu terus menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki Noor Intan Bizura atau mesra disapa Ran termasuk menghubungi kenalan adiknya itu termasuk bertanyakan saudara mara, namun dia masih gagal dicari.

“Kali terakhir adik saya dikesan berada di Georgetown, Pulau Pinang dan sejak itu tidak ada lagi sebarang maklumat sehinggakan usaha menjejakinya menemui jalan buntu.

“Saya kasihankan ibu yang kini sudah uzur terlalu merinduinya selain menghidap sakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Nor Azemizam berkata, ibunya Zaitun Serendang, 69, berharap sekiranya adik perempuannya itu terbaca kisah keluarganya yang berusaha mencarinya, supaya pulang ke kampung halaman di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau.

Menurutnya, adiknya dahulu bekerja swasta dan pernah berselisih faham dengan keluarga kerana perbezaan gaya hidup.

“Itu dahulu punya cerita, ibu dan kami sekeluarga telah lama memaafkan kesalahannya dan hanya berharap supaya adik perempuan saya kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Norazemizam berharap orang ramai atau kenalan adiknya yang terbaca kisah ini supaya dapat menghubungi keluarganya di nombor 013-3995683 atau 09-2861623.


0 comments:

share2