Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 13, 2015

SAYA TERIMA 'PROBLEM' LEGASI SIAPA, TANYA NAJIB


Najib Tun Razak


Kuala Lumpur - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bahawa perjanjian konsesi dengan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berat sebelah apabila setiap lima tahun kadarnya perlu dinaikkan.

Beliau turut menegaskan bahawa konsesi itu ditandatangani sebelum pemerintahannya.

"Soal syarikat ERL yang disebut-sebut. Sebab (rakyat) marah naik. RM35 naik kepada RM55. Tinggi tapi tuan-tuan tak tahu, perjanjian ini ditandatangani pada tahun1997 lagi. Bukan setahun dua ini. Konsesi jangka panjang.

"Dalam perjanjian itu di mana syarikat YTL menguasai, perjanjian yang saya sifatkan berat sebelah. Harga bergantung kepada 'projected traffic bukan actual traffic'. Dalam perjanjian, lima tahun naik, lima tahun naik," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno, di sini, semalam.

Sebelum ini, ERL mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 bagi tiket sehala KL Sentral ke KLIA/klia2 berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Menurut Najib, kenaikan kadar ERL itu sudah 'ditahan' sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara dan masalah itu hanya legasi yang diterima dari pemerintah sebelum ini.

"Apabila saya jadi perdana menteri, saya kata jangan naik. 14 tahun tak naik. Tapi pampasannya berapa? RM 2.9 bilion.

"Sebab itulah, kita terpaksa naik (kepada) RM55 kalau tidak, parah kita. Kita runding semula. Kena sambung pula lagi 30 tahun. Sebab perjanjian dah tandatangan.

"Sebab itulah saya nak terangkan kepada perwakilan, saya terima 'problem' legasi atas siapa...?," katanya.

Namun katanya, masalah itu akan dibetulkan kerana beliau sedar rakyat marah terhadap kenaikan tersebut.

"Untuk itu, bagi ERL, saya nak umumkan bahawa ada beberapa langkah yangg kita akan ambil.

"Antaranya, pelajar-pelajar guna kad siswa 1Malaysia akan dapat diskaun sebanyak 30 peratus untuk perkhidmatan ERL transit termasuk OKU dan warga emas. Manakala bagi pengguna awam sektor Putrajaya, ERL telah bersetuju untuk mengurangkan kenaikan harga pas bulanan," katanya.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan KTM mengumumkan kadar tiket komuter bagi pelajar berusia 7 hingga18 diberi diskaun 50 peratus termasuk pelajar universiti dengan hanya menunjukkan kad pelajar.

Mengulas soal ekonomi negara, Najib berkata, kita masih boleh berbangga kerana ekonomi masih boleh berkembang peratus, tahun ini.

"Walaupun kita berdepan dengan pelbagai faktor luaran yang tidak menentu, harga minyak jatuh, ekonomi China menguncup.

"Tapi ekonomi Malaysia masih boleh berkembang lagi. Insya-ALLAH 5% pada tahun ini. Antara yang tertinggi di dunia," katanya.

Tambahnya, ‎"kita akan buat sedaya upaya kita. Saya dengar rintihan rakyat. Saya dengar kehendak para perwakilan supaya kerajaan lebih prihatin akan masalah kos sara hidup.‎"


0 comments:

share2