Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 28, 2016

[KUANTAN] BEE SENG JAGA 11 ANAK ANGKAT


Bee Seng jaga 11 anak angkat


Kelewatan dikurniakan cahaya mata mendorong ahli perniagaan, Tan Bee Seng, 68; dan isteri, Yong King Sing, 70; mengambil keputusan mengambil anak angkat.

Uniknya, bukan hanya seorang tetapi 11 anak angkat pelbagai kaum termasuk empat Melayu, masing-masing tiga Cina dan India serta seorang berketurunan Sikh.

“Pada masa itu, saya hanya mahukan anak dan berusaha mencari keluarga susah yang nak bagi anak pada orang.

“Saya dapat seorang anak angkat India, kini berusia 38 tahun, kedua bangsa Sikh berusia 37 tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 1, di sini.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia dikurniakan seorang anak lelaki, Tan Choon Boon, 28, yang kini bekerja sebagai jurutera di Perak. 

"Saya percaya, Tuhan akan bagi rezeki kalau kita bantu orang susah. Selepas itu, saya terus cari keluarga susah yang tak mampu membesarkan anak mereka dan ambil sebagai anak angkat,” katanya.



Tidak harap balasan wang ringgit

Ahli perniagaan dalam bidang hartanah dan perhotelan yang berasal dari Perak itu, mempunyai prinsip mahu semua anaknya berjaya dalam hidup dan menjadi insan berguna.

Katanya, dia tidak mengharapkan balasan wang ringgit daripada 11 anak angkatnya itu.

“Saya hanya mahu lihat mereka berjaya, ada kerja dan kehidupan yang baik. Itu sudah cukup buat saya gembira.

“Kehadiran mereka dalam keluarga saya membuatkan kami semua hidup gembira dan meriah. Apabila tiba hari perayaan, kami semua akan berkumpul bersama-sama,” katanya.

Bee Seng berkata, dia amat mengambil berat keperluan empat anak angkat Melayu yang beragama Islam dengan menyediakan sebuah kediaman dan seorang pembantu rumah yang menjaga makan minum mereka.

“Ketika kecil dahulu, selepas pulang sekolah, mereka akan ke rumah saya dan pada waktu malam akan balik ke rumah berkenaan. 

"Saya mendapat nasihat daripada ustaz mengenai cara hidup Islam supaya saya dapat menjaga mereka dengan baik,” katanya.



Kerja kebajikan beri kepuasan

Katanya, dia kini melalui fasa kehidupan yang gembira bersama tujuh cucunya dan terbaru, Tan Joan, lima bulan, hasil perkahwinan anak angkat bongsu (India), Anthony Tan Yu Wei, 22, bersama isteri, Tijah Azman, 21, berketurunan Orang Asli.

Bee Seng berkata, kerja-kerja kebajikan dapat memberinya kepuasan dan ia sudah sinonim dengan kehidupannya.

Jelasnya, bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Maka tidak hairanlah, pada 2011, Bee Seng menyerahkan tanah miliknya seluas 0.8 hektar di Kampung Kurnia kepada rumah anak yatim dan miskin, Permata Insyirah.

“Saya anggap anugerah ini menjadi inspirasi kepada rakyat di negara ini untuk membuat baik kepada semua orang.

“Saya gembira melihat semua anak saya hidup gembira dan berjaya, terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu dalam urusan pengambilan anak angkat saya selama ini," katanya.

Bee Seng adalah seorang daripada enam pemenang MYHero Award yang dianugerahkan kepada individu yang berjasa kepada masyarakat.


0 comments:

share2