Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 13, 2015

ISTERI KEDUA DATUK MAUT KENA TETAK


Kes jenayah


Ipoh - Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai ditetak dengan parang di bahagian belakang leher dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Lake View, Taiping, malam tadi.

Mangsa berusia 68 tahun yang dipercayai isteri kedua kepada seorang pesara kerajaan bergelar ‘Datuk’ meninggal dunia di lokasi tersebut dalam insiden yang berlaku jam 7.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa bersama suaminya yang berusia 82 tahun berada di rumah dan dikunjungi tetamu, seorang saudara wanita berusia 78 tahun bersama seorang pekerja lelaki berusia 57 tahun.

Menurutnya, sejurus kedua-dua tetamu terbabit berada di dalam rumah, secara tiba-tiba muncul dua lelaki memakai topeng dan topi keledar berpenutup penuh meluru masuk serta bersenjatakan parang.

“Seorang suspek bertindak mengikat Datuk terbabit menggunakan selendang tetamu wanita sementara tetamu lelaki diugut dengan parang diletak ke lehernya.

“Mangsa yang berada bersama dua tetamu dan suaminya itu kemudiannya dibawa ke bilik tidur. Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, kedua-dua suspek terus melarikan diri.

“Tetamu lelaki bertindak memeriksa bilik dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, siasatan di tempat kejadian telah menemui pisau sepanjang 15 sentimeter disyaki dibuang kedua-dua suspek terbabit.

Tambahnya, barang kemas mangsa yang dibiarkan berselerak di atas katil dan meja solek tidak diusik dan keadaan itu seolah-olah menggambarkan berlaku kejadian samun di rumah berkenaan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan kami mendapati suami mangsa dan saudara wanita itu mempunyai hubungan yang tidak baik.

“Selain itu, difahamkan, saudara tersebut mendakwa dia datang ke rumah untuk minta wang perbelanjaan dari Datuk yang dikatakan telah mengabaikan kebajikan dia dan seorang anak yang sedang sakit tenat,” ujarnya.

Harrith Kam berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti keadaan sebenar sama ada kejadian bermotif samun atau konflik keluarga bagaimanapun meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk menghubungi polis.

“Kedua-dua tetamu terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.‎

Beliau berkata, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Datuk yang enggan dikenali itu memberitahu mangsa adalah isteri keduanya dan mereka telah mendirikan rumah tangga sejak 36 tahun lalu.

Menurutnya, mangsa adalah pesara ketua jururawat di sebuah hospital di sini dan mereka hanya menetap berdua di rumah itu.

Katanya, dia mempunyai seorang anak lelaki dengan isteri pertama namun tiada anak dengan mangsa.

“Saya amat sedih apabila menemui isteri dalam keadaan dikelar pada kejadian itu dan berharap agar Tuhan menghukum mereka yang telah melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HRPB, di sini, hari ini.

Difahamkan, Datuk terbabit sangat aktif dalam bidang kebajikan sehingga hari ini.


0 comments:

share2