Pasir Mas - Program ‘Pintu ke Pintu’ menjadi platfrom terbaru yang diperkenalkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam usaha memberikan penerangan bahaya banjir di kawasan rendah.
Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, ia melibatkan penerangan secara bersemuka terutama kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
“Langkah tersebut merupakan salah satu penambahbaikan yang dijalankan pihak kami selepas berlakunya bah kuning hujung tahun lalu
“Cara ini dilihat lebih berkesan apabila orang ramai juga berpeluang bertanyakan apa-apa sahaja soalan yang berkaitan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program ‘Pintu ke Pintu’ yang diadakan di Kubang Pak Amin, di sini.
Kata Azmi, melalui program itu pihak bomba berpeluang mendedahkan penduduk mengenai bahaya banjir dan langkah keselamatan yang perlu diambil sebaik sahaja air mulai masuk ke kawasan rumah.
Katanya, pendedahan itu bagi memastikan penduduk sentiasa waspada dan menjaga keselamatan mereka sekiranya banjir.
“Program ini mendapat respons positif daripada penduduk dan mereka mulai peka tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil setiap kali berlaku banjir.
“Kami akan tetap meneruskan program ‘Pintu ke Pintu’ walaupun ada beberapa kawasan di negeri ini sudah mulai dilanda banjir,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba juga sudah membuat persediaan rapi dan segala aset serta kelengkapan berada pada tahap terbaik untuk menghadapi banjir.
Jelasnya, sebagai persediaan tiga helikopter ditempatkan di Pusat Latihan Bomba Wakaf Tapai, Terengganu untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
0 comments:
Post a Comment