Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 11, 2015

#PAU2015 : PERWAKILAN BERI ISYARAT SOKONGAN TAK BERBELAH BAHAGI

Kuala Lumpur, 10 Disember--Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, PWTC pagi ini. - Foto : Irsyadi Ismail / MediaUMNO


KUALA LUMPUR, 10 Dis – Rata-rata perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO siang tadi menyatakan sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mereka menyifatkan ucapan dasar presiden hari ini merupakan satu kenyataan jujur yang lahir dari hati beliau terutama ketika memberi penjelasan berkaitan isu-isu semasa seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), RM 2.6 bilion dan isu dalam parti sendiri.

Bagi Datuk Abdul Rahman Dahlan, meskipun susah untuk presiden menyebut nama-nama individu yang mempunyai kedudukan tinggi dalam parti, beliau terpaksa melakukan demikian bagi membetulkan keaadaan.



“Saya kira perwakilan dan juga ahli UMNO di seluruh negara merasa risau dengan keadaan parti ketika ini dan mahukan jaminan daripada kepimpinan peringkat tertinggi bahawa institusi presiden masih kukuh dan kuat untuk menangani cabaran di luar sana.

“Justeru itu kita tidak boleh berkompromi dengan usaha yang boleh menggugat kedudukan beliau. Daripada sokongan yang ditunjukkan perwakilan, jelas bahawa presiden mempunyai sokongan yang cukup dan padu,” jelasnya.

Apabila ditanya tentang sambutan meriah yang diterima timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin, Rahman mengulas bahawa ia tidak boleh disalah tafsir dan dijadikan ukuran sebagai sokongan atas tindakan beliau.

“Tepukan tersebut hanyalah sebahagian daripada adat melayu yang ingin memberi penghormatan kepada pemimpin. Saya sendiri meskipun banyak memberi kritikan terhadap timbalan presiden, sekiranya perlu diberi penghormatan, saya akan beri. Kita tidak ada niat untuk memalukan sesiapa dalam parti ini,” tambah beliau.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu bahawa ucapan presiden hari ini lahir dari ketulusan dan keikhlasan beliau yang ingin melihat parti UMNO ini terus diperkukuhkan bagi meneruskan kesinambungan sekaligus memartabatkan agenda perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Apa yang penting adalah sepertimana yang disarankan oleh presiden iaitu sebagai nakhoda kapal yang membawa seluruh parti dan rakyat mengembara di lautan besar, seluruh penghuni bahtera perlulah berdisiplin bagi memastikan bahtera dapat dipacu ke hadapan.

“Perkara ini memerlukan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan bukan kerana individu tersebut, tetapi kepada institusi kepimpinan itu sendiri yang merupakan satu daripada sistem parti yang penting,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya institusi kepimpinan dalam satu-satu organisasi tidak dihormati, sudah tentu seluruh sistem kepartian itu akan runtuh dan kita pasti akan dicela oleh generasi akan datang kerana kegagalan untuk memikul amanah dan tanggungjawab dalam umat memelihara Islam dan memartabatkan bangsa Melayu serta bumiputera.

Manakala Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Razlan Rafii pula memberitahu bahawa UMNO merupakan sebuah institusi yang digerakkan secara bersama oleh ahli dan kepimpinan parti.

“Oleh itu dalam hal ini, tidak ada istilah kerja berasingan. Kita perlu ada kesepakatan dan apa-apa isu yang timbul perlu diselesaikan di meja rundingan. Justeru itu, timbalan serta naib-naib presiden harus menyedari tanggungjawab mereka dalam membantu presiden dan mengekalkan keutuhan institusi.

“Dalam ucapannya, Datuk Seri Najib jelas mengatakan No Retreat No Surrender yang bermaksud beliau tidak akan tunduk dan mengalah dengan ujian dan cabaran politik hari ini. PM yakin dengan apa yang beliau laksanakan selama ini adalah untuk orang Melayu dan Malaysia. Dan sudah pastinya kita akan bawa keyakinan ini dengan lebih jauh untuk kemenangan pilihan raya umum yang akan datang,” tegasnya.




0 comments:

share2