Kuala Lumpur - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran bahawa sekiranya bukan Umno memerintah negara, tanah air ini bakal jatuh ke tangan DAP.
Menurutnya, di negara ini hanya dua sahaja pilihan yang ada untuk rakyat Malaysia iaitu Umno atau DAP.
"Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma dua pilihan sahaja, sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno ataupun yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.
"Maksud saya, seandai dan sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu serta Bumiputera," katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, masa depan anak-anak bangsa bakal diperjudi apabila DAP memerintah negara.
Sebelum itu dalam ucapan sama beliau berkata, rakyat sering dimomok-momokkan oleh parti pembangkang, kononnya mereka alternatif untuk menggantikan kerajaan.
"Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP, cuba ‘menguasai’ parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
"Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak tahulah pula talak berapa nak pakai nanti," katanya.
Tambahnya, "nak berpakat pun payah, jadi macam mana nak perintah negara?"
Sehubungan itu, beliau menyeru agar ahli Umno dan orang Melayu berjaga-jaga dan berwaspada, jangan sampai tersilap langkah hingga terjun ke dalam perangkap ini.
0 comments:
Post a Comment