Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 25, 2015

[KUANTAN] NENEK BUNTU NASIB CUCU


Nenek buntu nasib cucu


Seorang nenek merayu bantuan persekolahan untuk dua daripada empat cucunya yang dijaga sejak setahun lalu.

Kamsiah Che Esa, 54, yang menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan gout terpaksa mengambil alih menjaga keempat-empat cucunya yang berusia 9, 7, 5 dan 2 tahun selepas ditinggalkan kedua-dua ibu bapa mereka.

Kamsiah berkata, dia yang menyara keluarga dengan membuat kuih muih tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk membeli kelengkapan sekolah baharu untuk cucunya.

“Setiap kali musim persekolahan dan perayaan, saya buntu fikir mana nak dapatkan wang untuk sediakan keperluan mereka.

“Wang zakat diperoleh sebanyak RM300 tidak mencukupi untuk tampung keperluan empat beradik ini,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Ketua Wanita Umno Kuantan, Datuk Zaitun Mat, di rumahnya di Kampung Baru di sini.

Kamsiah berkata, keperluan persekolahan dua cucunya, Muhammad Ashraff Aliff Aiman, 9, dan Muhammad Aliff Amirul Safizan, 7, masih belum dibeli lagi.

Menurutnya, Muhammad Ashraff Aliff bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching manakala Muhammad Aliff Amirul di Sekolah Kebangsaan (SK) Cenderawasih.

“Selain keperluan sekolah, saya juga buntu fikirkan macam mana nak bayar yuran buku mereka berdua memandangkan sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Zaitun berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut mendapatkan bantuan sewajarnya terutamanya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kepada pihak yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun BSN, Kamsiah Che Esa 06100-29-00060531-6.


0 comments:

share2