Majlis Batin-Batin Orang Asli Pahang (MBBOAP) akan mengadakan perjumpaan dengan lebih 70,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini bagi menerangkan keputusan kerajaan negeri yang sedia mengeluarkan geran hak milik tanah pinggir bandar seluas 0.1 hektar kepada golongan berkenaan.
Usaha itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku salah faham dan rasa tidak puas hati masyarakat berkenaan berikutan tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mengelirukan mereka.
Pengerusinya, Norya Abas, 58, berkata, Orang Asli perlu bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang bersetuju mengagihkan tanah yang terletak di pinggir bandar kepada golongan yang layak.
Bagaimanapun, menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mendesak kerajaan negeri membatalkan keputusan dibuat menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir masyarakat Orang Asli.
Katanya, NGO berkenaan yang dikatakan memperjuangkan nasib Orang Asli di negeri ini tidak lebih hanya suatu sandiwara sahaja dan dipergunakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.
“Saya akan bekerjasama dengan 217 batin di negeri ini untuk mengadakan perjumpaan di 260 penempatan Orang Asli bagi menerangkan kebaikan menerima keputusan kerajaan mengagihkan tanah pinggir bandar kepada mereka.
“Orang Asli akan menyesal sekiranya mereka tidak menerima keputusan kerajaan itu, walaupun tanah diterima tidak luas, yang penting, hak milik menjadi bukti pemilikan,” katanya.
Norya berkata, walaupun terdapat Orang Asli tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat kerajaan negeri, namun jumlahnya terlalu kecil dan tindakan berkenaan disebabkan mereka terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, NGO berfikiran cetek diketuai individu berpendidikan rendah itu dipercayai menjadi suruhan pihak tertentu yang cuba mempengaruhi masyarakat Orang Asli supaya menyokong mereka pada pilihan raya akan datang.
“Sebagai pengerusi MBBOAP, saya perlu pastikan keputusan kerajaan negeri itu akan menjadi kenyataan untuk kebaikan masyarakat Orang Asli pada masa akan datang.
“Saya merayu Menteri Besar supaya tidak mudah menerima desakan pihak tidak bertanggungjawab bagi memastikan sokongan masyarakat Orang Asli kepada kerajaan tidak tergugat,” katanya.
Pengerusi Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Pahang, Rosman Sulong, berkata, sekiranya Orang Asli tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri, mereka akan menyesal suatu hari nanti.
“Kemajuan yang berlaku sekarang menyebabkan banyak kawasan penempatan Orang Asli di pinggir bandar semakin berkurangan, justeru sekiranya geran hak milik tidak ada keistimewaan, penduduk setempat akan tergugat.
“Saya harap Orang Asli yang menetap di kawasan pinggir bandar dapat menerima keputusan dibuat kerajaan negeri,” katanya.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, kerajaan memutuskan mengeluarkan geran hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli yang menetap di penempatan pinggir bandar di negeri ini.
0 comments:
Post a Comment