Segelintir pemilik kenderaan dikesan terus berdegil menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut standard ditetapkan walaupun tahu ia salah dan boleh dikenakan tindakan.
Rata- rata pemandu dan penunggang yang ditahan atas kesalahan itu memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri bagi mengelak disaman, namun tindakan tegas diambil terhadap mereka sebagai pengajaran.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamad Noor Yusoff Ali berkata, hasil operasi di Kilometer 1, Jalan Teluk Sisek di sini, malam kelmarin, kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan mencatatkan jumlah saman tertinggi dikeluarkan.
Menurutnya, daripada 91 saman dikeluarkan, 66 daripadanya melibatkan kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.
“Kita dapati kesalahan itu masih terus berleluasa walaupun pemberitahuan, amaran dan tindakan penguatkuasaan diambil sebelum ini.
“Oleh itu, mana-mana pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, segera bertindak atau berdepan tindakan,” katanya.
Mohamad Noor berkata, tindakan penguatkuasaan trafik ke atas kesalahan tersebut akan diteruskan dari masa ke masa bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terus berdegil.
Beliau berkata, selain kesalahan nombor pendaftaran, pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan juga boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada.
“Penunggang motosikal khususnya, perlu tahu, selain pengubahsuaian ekstrem, motosikal tanpa penutup rantai juga dikira sebagai ubah suai struktur kenderaan yang boleh dikenakan tindakan.
“Dalam operasi melibatkan 12 anggota termasuk tiga pegawai dari trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang kelmarin, kita turut mengesan motosikal tanpa penutup rantai dan saman dikeluarkan terhadap penunggang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, antara keseluruhan saman dikeluarkan, 10 kes melibatkan lampu brek kenderaan tidak berfungsi, enam kes memandu atau menunggang tanpa lesen dan lima saman dikeluarkan kerana gagal menampal pelekat P.
“Manakala masing-masing satu saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan, ubah suai ekzos, tiada penutup rantai dan halangan lalu lintas,” katanya.
Menurutnya dalam operasi itu, pemeriksaan dilakukan ke atas 62 kereta, 22 motosikal dan tujuh kenderaan pelbagai guna.
“Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap pemandu dan penunggang dalam operasi tersebut,” katanya
0 comments:
Post a Comment