Shah Alam - Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa) menasihatkan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin agar merujuk kepada mereka yang arif dalam soal agama jika ingin menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat yang dilakukan di rumah persendirian.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islamnya, Dr Amini Amir Abdullah berkata, ini kerana dalam isu ini tidak timbul soal ia adalah hak dan privasi setiap individu kerana suatu jenayah perlu diambil tindakan dengan tujuan untuk menegakkan undang-undang dan mendapatkan keredaan ALLAH S.W.T.
"Perbuatan khalwat di tempat peribadi dan tempat awam yang menimbulkan fitnah tetap merupakan suatu dosa. Tidak timbul soal dosa peribadi antara pelakunya dengan ALLAH. Ia juga adalah persepsi yang memalukan dalam kalangan manusia," Katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Amini berkata, Perkasa juga menolak cadangan G25 mengenai perlunya penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan perihal itu, kerana undang-undang sedia ada sudah mantap dan jelas.
"Cadangan untuk dimansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang adalah bertentangan dengan falsafah perundangan yang bersifat mencegah. Oleh yang demikian, kesalahan khalwat tidaklah boleh didiamkan dalam konteks hak privasi dan individu kerana kesalahan yang berkaitan dengan jenayah Syariah tetap merupakan satu kesalahan," katanya.
Tambahnya lagi, Perkasa menyokong penuh pelaksanaan undang-undang khalwat di Malaysia walaupun ia tidak diamalkan di negara lain.
"Perkasa berpandangan pelaksanaan undang-undang syariah tidak menjadi sebarang masalah. Justeru, dosa peribadi seseorang berkaitan khalwat tetap menjadi satu kesalahan jenayah syariah di Malaysia.
"Kedangkalan pemikiran puak G25 amat terserlah dalam hal ini. Mereka perlu memfokuskan perjuangan mereka untuk mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan bukan melihat kepada perkara yang remeh temeh dan mencari populariti serta publisiti murahan," katanya.
Kelmarin, jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah termasuk khalwat.
Katanya, hukuman terhadap pesalah khalwat adalah dosa peribadi antara pelaku dengan ALLAH kecuali jika dilakukan di kawasan awam.
0 comments:
Post a Comment