Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 8, 2015

KESAL PERKHIDMATAN TAK SERUPA BIKIN


Kesal perkhidmatan tak serupa bikin


Sungai Besar – “Kadar cukai taksiran tinggi, tetapi perkhidmatan masih di tahap rendah!”

Itu antara keluhan penduduk Taman Padu Permai, Sungai Besar, di sini, terhadap perkhidmatan yang disediakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Penduduk mendakwa, kadar cukai taksiran dikenakan sebanyak 12 peratus di premis kediaman tidak memenuhi janji manifesto Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13 lalu yang ingin menurunkan cukai itu sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Taman Padu Permai, Sungai Besar, Amir Abdul Majid berkata, jika dahulu, kadar cukai taksiran rumah kos sederhana bagi tempoh enam bulan hanya dikenakan RM90 berbanding pada masa sekarang sebanyak RM139 bagi tempoh sama.

“Malah, penduduk yang memasang ruang tambahan depan rumah juga dikenakan cukai taksiran dan kadarnya juga ditafsir dan dinilai mengikut keluasan,” katanya.

Amir memberitahu, semasa negeri ini ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2008, keadaan persekitaran taman itu diselenggara dengan baik meskipun cukai yang dipungut kerajaan negeri rendah.

Bagaimanapun, selepas pentadbiran ‘bertukar tangan’, kawasan kediaman penduduk dibiarkan tanpa penyelenggaraan berjadual hingga mengakibatkan hadapan rumah berhampiran longkang penduduk ditumbuhi semak-samun.

“Rumput menjalar tak dipotong, malah kalau tengok rumput tu dah ada yang panjang setinggi tiang elektrik,” katanya kepada Sinar Harian.


Bau longkang ganggu penduduk

Menurut Amir, terdapat kira-kira 1,000 unit rumah penduduk pelbagai fasa di taman itu turut berdepan masalah longkang tersumbat hingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan kepada penghuninya.

Katanya, longkang penduduk yang berkongsi dengan saliran pertanian yang sepatutnya mengalirkan air ke parit pembuang berhampiran taman itu tersekat sejak sekian lama hingga mengakibatkan sistem saliran itu gagal berfungsi dengan baik.

“Kalau dulu longkang taman perumahan ni dicuci dua minggu sekali, tetapi sekarang setahun sekali pun payah. Sampai bila kami terpaksa hidu bau longkang busuk setiap hari?" ujarnya.

Jelasnya, keadaan longkang yang tidak diselenggara itu mengakibatkan beberapa kejadian banjir kilat melanda Pasar Awam Sungai Besar terutama pada musim hujan.

“Masalah ini tak ada penyelesaian sejak enam tahun lalu. Kami kerap kali hantar surat kepada MDSB berhubung perkara ini, tapi tiada tindakan serius dilakukan.

“Selain itu, kami turut memanggil wakil MDSB untuk berdialog bersama penduduk di balai raya kampung ini sebelum PRU lalu,” katanya.

Seorang penduduk, Yacob Haramin, 60, berkata, dia terpaksa mengambil inisiatif sendiri menebas rumput dan menyelenggara longkang kediamannya itu sebulan sekali.

“Sakit mata kalau tengok rumput panjang dan longkang tak cuci. Rumput cepat panjang bila hujan dan keadaan ini amat tak selesa,” katanya.

Yacob yang menetap di Taman Padu Permai berkata, taman perumahan yang didiaminya sejak 30 tahun lalu itu juga berhampiran pasar malam dan perlukan penjagaan lebih serius.

“Kadang-kadang peniaga buang sisa makanan ke dalam longkang. Longkang pasar akan melalui saliran perumahan penduduk dan ini salah satu punca longkang tersumbat.

“Longkang pun berubah warna keruh dan kehitaman. Baunya tak usah cakaplah, dah tentu meloyakan tekak,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat longgokan sampah haram di Jalan Persiaran Permai Tiga yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab, selain terdapat takungan air di kawasan berhampiran yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Kawasan selekoh jalan ni dah jadi tempat pembuangan sampah haram. Pelbagai sampah dibuang termasuk sisa binaan, tin minuman, kayu, kotak dan sisa pepejal lain,” ujarnya.

Sementara, Norafizah Mat Desa, 48, berkata, dia yang berniaga di situ kerap menerima rungutan penduduk berhubung keadaan persekitaran taman itu yang tidak diselenggara.

“Ramai penduduk mengeluh setiap kali singgah ke gerai saya. Mereka dakwa taman ni tak dijaga dengan baik, sedangkan penduduk inginkan keadaan lebih selesa dan bersih.

“Kalau pergi taman permainan kanak-kanak jangan terkejut kalau tengok rumput meninggi. Kat situ pun banyak anjing berkeliaran,” katanya.


Aduan perlu diambil serius

Seketariat Taman Perumahan Sungai Besar, Zulfadli Abu Bakar, berkata, isu yang dibangkitkan penduduk itu perlu mendapat perhatian serius MDSB dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggannya.

“Aduan ini perlu tindakan proaktif daripada MDSB. Jangan biarkan penduduk berdepan masalah sama setiap hari,” ujarnya.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, beliau kerap menerima rungutan daripada penduduk taman itu antaranya aduan terhadap rumput yang tidak dipotong, pengangkutan sampah yang tidak sistematik serta longkang yang tidak diselenggara denggan sempurna.

“Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976, bidang-bidang tugas ini adalah di bawah tanggungjawab majlis daerah dan atas sebab itu pemilik rumah di daerah Sabak Bernam ini mereka dikenakan bayaran cukai taksiran sebanyak 12 peratus yang dibayar dua kali setahun.

“Tujuan saya melawat kawasan sekitar Taman Padu Permai ini mengharapkan MDSB dapat melaksanakan tanggungjawab mereka, kerana kita bimbang jika keadaan persekitaran ini tak dijaga ia mengundang ancaman kesihatan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, meskipun kes demam denggi di daerah Sabak Bernam tidak mencatatkan kes kematian, tetapi langkah berjaga-jaga dan pengawasan perlu diberi keutamaan oleh semua pihak termasuk MDSB.

0 comments:

share2