Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 23, 2015

KAWASAN LARANGAN VAPE BERKUAT KUASA TAHUN DEPAN


vape


Butterworth - Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan larangan menghisap rokok elektronik atau vape di 21 kawasan yang diwarta sebagai kawasan larangan merokok mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata larangan itu akan dikuatkuasakan selepas Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah membuat penambahbaikan dalam Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Kita ada peraturan kawalan tembakau di bawah Akta Makanan 1983 yang diperkenalkan pada tahun 2004. Dalam akta ini ia disebut asap. Jadi semua yang berbentuk asap seperti rokok, cerut dan sebagainya tidak boleh dihisap di kawasan larangan.

"Kita akan gunakan peraturan kawalan tembakau ini untuk vape dengan memasukkan satu perkataan dalam peraturan itu iaitu wap. Wap termasuk vape. Jadi dengan perkataan baharu ini penghisap vape dilarang untuk menghisapnya di 21 kawasan larangan merokok.

"Saya yakin tahun depan kita akan laksanakan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan van jenazah kepada Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Hospital Seberang Jaya Dr Zainol Ariffin Mohammed dan Pegawai Kemajuan Negeri Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Syed Shaari Syed Abdullah.

Sementara itu Dr Hilmi berkata pihaknya akan mewujudkan dua hospital kluster di Pulau Pinang iaitu Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

Beliau berkata Hospital Seberang Jaya akan diklusterkan dengan Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Sungai Bakap, manakala Hospital Pulau Pinang dengan Hospital Kepala Batas dan Hospital Balik Pulau.

"Kalau hospital-hospital ini memerlukan kepakaran, mereka kena rujuk dengan Hospital Seberang Jaya atau Hospital Pulau Pinang. Mana-mana hospital yang tiada pakar juga mereka boleh rujuk kepada dua hospital ini yang mempunyai pakar," katanya.


0 comments:

share2