Agak sedikit janggal jika ada antara anak kelahiran negeri ini yang masih belum mengenali sayur atau jeruk maman. Pergi sahaja ke mana-mana pekan sehari atau pasar tani, sayur yang dianggap eksotik ini akan sentiasa terjual.
Pada harga RM2 seikat, ia adalah sejenis sayuran yang perlu dijeruk terlebih dahulu sebelum dijadikan juadah. Jika tidak, ia tidak boleh di makan.
Ibarat kimchi Korea, jeruk maman merupakan kimchi buat penduduk negeri ini. Jeruk maman ini biasanya dimakan begitu sahaja, namun ada antara penduduk negeri ini yang membuat gulai lemak setelah dijeruk.
Lebih unik bila ada antara masyarakat negeri ini yang menggoreng jeruk maman itu dengan menumisnya bersama bawang merah, bawang putih, kunyit, cili api dan ikan bilis sebagai penyedap rasa.
Lebih tradisional, jeruk maman di makan bersama ikan bakar di mana isi ikan bakar dimasukkan ke dalam kuah jeruk bersama cili sebelum di makan.
Pelbagai cara hidangan, namun ramai yang masih tidak tahu cara untuk membuat jeruk maman ini. Berpeluang menjengah ke dapur seorang peniaga makanan, Siti Hozam Omar, 52, penulis dapat mempelajari sedikit sebanyak cara untuk membuat juadah unik terbabit.
Menurut Hozam, hanya empat bahan saja yang diperlukan untuk menyediakan jeruk maman terbabit antaranya ialah dua ikat sayur maman, satu mangkuk nasi sejuk, dua sudu besar garam dan air masak.
“Pertama sekali kita perlu memotong sayur maman ini secara kasar menggunakan tangan sahaja. Kita guna tangan supaya dapat bezakan bahagian yang lembut dan bahagian yang keras.
“Kemudian, cuci sayur maman ini dan toskan. Selepas itu, sediakan satu mangkuk nasi sejuk digaulkan bersama dua sudu besar garam,” katanya.
Setelah itu, masukkan maman ke dalam balang diselang selikan dengan campuran garam dan nasi. Setelah itu, barulah dimasukkan air sehingga memenuhi paras sayur maman tersebut.
Hozam juga berkata, jeruk maman yang sedia untuk dimakan biasanya perlu disimpan sekurang-kurangnya dua hari.
“Jika tidak mahu jeruk maman itu terlalu masam, masukkan ke dalam peti sejuk setelah disimpan di luar selama dua hari,” katanya.
Menurutnya, sayur maman memiliki banyak khasiat dan bagus untuk ibu yang sedang berpantang.
“Bagi ibu yang sedang berpantang, biasanya sayur maman itu tidak dijeruk, sebaliknya direbus bersama ikan bilis dan belimbing hitam serta garam secukup rasa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment