Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 29, 2015

GUA KELAWAR SIMPAN KHAZANAH SILAM


Gua Kelawar simpan khazanah silam


Walaupun Gua Kelawar cukup popular pada tahun 90-an tetapi penemuannya sejak setahun lalu membuatkan nama gua itu mula menjadi bualan penduduk kampung.

Terletak di Hutan Gemencheh Ulu dengan jarak antara kampung itu dengan lokasi Gua Kelawar hanya dua kilometer membuatkan penduduk di situ mahu kerajaan negeri menjadikan gua tersebut sebagai produk pelancongan bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Walaupun perlu menaiki kenderaan untuk sampai ke kaki gua dan perlu melalui ladang kelapa sawit sejauh 800 meter namun ia satu lokasi yang menarik untuk dikunjungi.

Pesara tentera, Nor Azman Yusof, 41, berkata, pada awal 90-an, penduduk kampung masuk ke dalam gua bagi mencari tahi kelawar untuk dibuat baja namun kewujudan gua itu tidak dihebohkan kepada orang lain.

“Setelah saya mendapat tahu kisah gua ini setahun lalu, saya mula teroka ke dalam gua untuk mencari keunikan dan kelainannya berbanding gua lain.

“Ternyata ia tidak sia-sia kerana saya bersama penduduk kampung menemui khazanah dipercayai peninggalan zaman nenek moyang dan zaman komunis sekitar tahun 40-an. Bagaimanapun, pihak yang lebih pakar boleh mengesahkan sama ada ia betul ataupun tidak," katanya.

Kata Nor Azman, Gua Kelawar berbentuk ‘S’ dan mempunyai pintu masuk dan pintu keluar. Di bahagian pintu masuk terdapat sebatang pokok besar iaitu pokok beringin.

“Difahamkan, orang dulu-dulu menandakan kawasan dengan menanam pokok beringin,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perjalanan masuk ke dalam gua sejauh 200 meter dengan mengambil masa selama empat jam berikutan keadaan struktur gua yang berbukit dan berbatu-batu.

“Dalam gua memang gelap dan mencabar. Kita perlu meniarap, merangkak, memanjat dan melalui jalan berbatu yang memerlukan keberanian.

“Kebanyakan batuan di gua ini diliputi lumut kesan daripada pembajaan tahi kelawar," katanya.

Justeru, Nor Azman menasihatkan mereka yang ingin memasuki Gua Kelawar agar berhati-hati.

"Jika ada rezeki, kita akan lihat ribuan kelawar berterbangan dalam ruang gua yang sempit,” katanya.

Jadi tarikan pelancong

Sementara itu, Pengerusi Gua Kelawar, Mohd Shahrizal Jaafar berkata, penemuan berharga itu mendorong dia dan penduduk mencadangkan kepada Parlimen Kuala Pilah, Bomba dan Penyelamat, Pejabat Daerah, PDRM, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Pejabat Dun Johol agar memajukan Gua Kelawar agar menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, sebarang surat menyurat telah dihantar kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Sehingga kini, Bomba dan Penyelamat telah mengesahkan struktur gua ini kukuh dan pastinya jika mahu memasuki gua memerlukan jurupandu.

“Kami telah melatih beberapa penduduk kampung sebagai jurupandu untuk memasuki gua ini. Aspek keselamatan turut dititikberatkan seperti lampu, alat keselamatan dan banyak lagi," katanya.

Kata beliau, sungguhpun usaha awal telah dibuat sebagai persediaan untuk memberi khidmat kepada pelancong namun pihaknya masih menantikan keputusan pihak berkenaan.

“Kami faham bukan mudah untuk kawasan ini dijadikan salah satu produk pelancongan namun ia tidak mustahil kerana Gua Kelawar memiliki keunikan tersendiri,” katanya.

Kata Mohd Shahrizal lagi, gua tersebut turut menempatkan khazanah lama nenek moyang seperti, batu dipercayai dijadikan katil, perigi, batu nisan dan pelbagai lagi.

“Bukan itu sahaja, lokasi gua ini boleh digunakan untuk sukan lasak seperti 'flying fox', 'rock climbing' menggunakan tali, dan banyak lagi.

“Justeru, kami (penduduk) berharap agar Gua Kelawar ini dikaji oleh pihak pelancongan agar ia boleh dijadikan salah satu produk pelancongan seperti mana Gua Batu Maloi Johol,” katanya.

Kesan peninggalan nenek moyang

Selain itu, Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), memberitahu kedudukan Gua Kelawar di antara Gemencheh dan Johol mengesahkan teori penduduk.

“Ada benarnya jika terdapat kesan dipercayai peninggalan nenek moyang di gua ini. Pandangan saya, gua ini dijadikan, transisi orang Gemencheh dan Johol. Di sini, pernah berlaku peperangan Datuk Undang Johol Siato iaitu Undang Johol ketujuh.

“Ada orang yang telah guna tempat ini dahulu sebelum kedatangan komunis. Penemuan ini memang menakjubkan terutama batu nisan dipercayai batu tradisi zaman dahulu dan makam lama,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, beliau teruja penemuan terbaharu Gua Kelawar yang pastinya boleh dipilih sebagai produk pelancongan bagi daerah ini.

“Usaha jitu penduduk kampung amat dihargai dan saya selaku Ahli Parlimen akan berusaha memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Pelancongan.

“Saya juga telah meneroka gua kelawar ini,” katanya.


0 comments:

share2