Rantau Panjang - Hujan lebat setiap kali musim tengkujuh membawa kepada kenaikan paras air Sungai Golok sehingga membanjiri beberapa kampung di Rantau Panjang.
Lebih menyulitkan, keadaan bergenang air dan lambat surut ini berterusan untuk tempoh yang lama ini bukan sahaja membantut rutin penduduk malah mengundang masalah lain termasuklah risiko membahayakan kesihatan mereka.
Masalah air lambat surut atau lebih popular dipanggil fenomena 'banjir termenung' dalam kalangan penduduk bukan kejadian aneh, malah boleh berlarutan sehingga hampir dua minggu sebelum pulih seperti sedia kala.
Terbaharu, fenomena 'banjir termenung' kini membelenggu beberapa kampung di daerah ini seperti Kampung Putat Tujoh, Kampung Lanchang, Kampung Tersang dan Kampung Bongor.
Turut terjejas, penduduk-penduduk di Kampung Jejawi, Kampung Banggol Nyior, Kampung Kelewar dan Kampung Binjal.
"Orang kampung kata, di sini umpama mengalami musim tengkujuh selama enam bulan manakala enam bulan lagi kemarau,”. Itu reaksi Mohd Husin Isa, 52, salah seorang penduduk Kampung Lanchang kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, ketika kawasan lain di Rantau Panjang tidak menunjukkan sebarang tanda banjir, Kampung Lanchang dan Kampung Tersang sasaran pertama ditenggelami air.
Menurutnya, selang 12 jam kemudian, ia akan 'menyerang' Kampung Bongor, Jejawi, Banggol Nyior, Kelewar, dan Binjal.
“Tidak dinafikan banjir adalah perkara biasa ketika tengkujuh, namun tiada sebab kami perlu berhadapan dengan 'banjir termenung' sedangkan banjir di kawasan lain mula surut.
“Habis air liur, surat menyurat dan perjumpaan dengan pemimpin dilakukan demi menyelesaikan masalah ini, tapi sampai sekarang masih tak selesai lagi,” katanya.
Masalah sistem perparitan
Kenapa fenomena 'banjir termenung' berlarutan? Kata, orang kampung...masalah sistem perparitan yang tidak sempurna antara punca.
Penduduk mendakwa, masalah tersebut telah beberapa kali panjangkan kepada pihak berwajib dan beberapa pemimpin tempatan, namun sehingga kini jalan penyelesaiannya kekal kabur.
Penduduk, Razali Husain, 61, berkata, dia sedih apabila masalah tersebut terus dipandang sepi, baik oleh pemimpin mahupun agensi kerajaan.
“Tolonglah, kami dah penat. Sampai bila nak menghadap 'banjir termenung', nak pergi menoreh getah pun tak boleh,” katanya.
Razali berkata, usaha membina saliran di Kampung Siram bagaimanapun masih belum mampu menyelesaikan masalah kerana ia terlalu kecil dan tidak berupaya menampung limpahan air sungai.
“Mereka sepatutnya bina jambatan bukan saliran yang kecil,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Jejawi, Mat Abdullah, 59, mendakwa, fenomena 'banjir termenung' ada juga kaitan dengan aktiviti pelepasan air dari pintu air To’Uban-Lemal .
Menurutnya, pelepasan air tidak terkawal pernah menyebabkan kerugian kepada pesawah yang mengerjakan puluhan hektar sawah, tahun lalu.
“Melihat dari sudut positif, ia memberi kemudahan kepada pesawah pada bulan April hingga September.
“Namun, melihat dari aspek negatif, ia menyebabkan takungan air di kawasan ini ketika musim tengkujuh kerana air tak dapat mengalir ke Sungai Golok,” katanya.
Menurutnya, penduduk mencadangkan, kerajaan membina sistem pintu air baharu untuk mengalirkan air.
Ini katanya, bukan sahaja menyekat air dari mengalir ke kawasan rendah ketika tengkujuh, malah mengalirkan air ketika kemarau.
Mat berkata, penduduk mengharapkan semua pihak dapat melakukan sesuatu bagi membolehkan fenomena 'banjir termenung' ini berakhir dan air mengalir semula ke sungai berhampiran.
Pertembungan air punca
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Banggol Nyior/ Jejawi, Abd Aziz Che Kop berkata, fenomena berlaku disebabkan pertembungan air dari Sungai Golok dan Batu Apar.
“Pergerakan air ke Pengkalan Kubor yang terlalu perlahan tapi sampai sekarang air masih di tahap bahaya, melebihi 9 meter.
“Ia bukan sahaja membantutkan usaha kami untuk mengemas rumah malah kami sering hidup dalam kerisauan kerana perlu memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, penduduk tidak boleh berpindah ke pusat pemindahan banjir kerana air hanya setinggi paras pinggang (0.5 meter).
0 comments:
Post a Comment