Kuala Nerus - Keluarga Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid, 11 bulan, kanak-kanak yang menghidap penyakit Biliary Atresia iaitu sejenis penyakit di mana terdapat ketidakwujudan sistem hempedu luar, masih memerlukan kira-kira RM120,000 untuk membolehkan penderitaan kanak-kanak malang itu dirawat.
Kos sebenar yang diperlukan untuk membuat rawatan di salah sebuah hospital di China adalah dianggarkan sebanyak RM160,000, dan setakat ini kira-kira RM40,000 telah terkumpul, wang hasil sumbangan orang ramai.
Sumbangan positif yang diterima itu diperoleh setelah sebulan kisah penderitaan kanak-kanak tersebut disiarkan Sinar Harian dan sehingga kini, keluarga berkenaan masih menerima sumbangan yang tidak putus-putus daripada orang ramai yang prihatin dengan nasibnya.
Menurut ibunya, Tuan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim, 21, meskipun kesihatan anaknya kini masih lagi stabil, namun sebagai ibu, dia berharap pembedahan segera dapat dilakukan bagi mengurangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung anak tunggalnya itu.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk memberi sumbangan bagi membolehkan anak saya dibedah segera.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami sekeluarga masih lagi menanti jumlah wang sumbangan mencukupi, sekaligus membolehkan anak saya terus di bawa ke China untuk mendapatkan rawatan.
“Setakat ini, hospital di China menawarkan kos rawatan yang paling rendah dan saya merayu bantuan ramai untuk terus menyumbang bagi memastikan jumlah yang diperlukan akan tercapai dengan segera,” katanya.
Menurutnya, melihat anaknya yang masih kecil menanggung penderitaan itu membuatkan hatinya begitu sayu dan seboleh mungkin dia ingin melihat anaknya sihat seperti mana kanak-kanak normal yang lain.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank (163019831792), CIMB (7616016942) Bank Rakyat (221161095105) di atas nama Tuan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim.
0 comments:
Post a Comment