Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 26, 2015

LETAK JAWATAN BUKAN JAMINAN PARTI MENANG


Mohamad Hasan


Seremban - Tindakan segelintir ahli Umno peringkat cawangan mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno bukan jaminan parti itu akan menang atau kalah dalam pilihanraya umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menang atau kalah bergantung kepada parti itu sendiri.

Menurutnya, Umno mesti kuat, kukuh, bersatu dan dilihat boleh dijadikan tempat orang Melayu bergantung harap.

“Ramai yang mendesak presiden meletakkan jawatan kononnya kerana sayangkan Umno. Tetapi, jika sayangkan Umno, bukan begitu caranya.

“Jika sayangkan Umno, kita perlu perkukuhkan parti ini, bukan berpecah-belah. Desakan meletakkan jawatan bukanlah jawapan yang menentukan Umno boleh menang atau kalah dalam pilihan raya umum nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Mohamad, yang juga Pengerusi Umno Negeri Sembilan berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah didesak meletak jawatan ketika beliau menjadi Presiden Umno, begitu juga pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai perdana menteri.

“Saya pun, berapa ramai suruh letak jawatan. Dulu enam daripada lapan bahagian suruh saya letak jawatan selepas dua penggal saya jadi menteri besar," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan semua ahli Umno supaya bersatu dan elakkan perpecahan.

“Ahli-ahli Umno di peringkat cawangan perlu bermuhasabah diri dan jangan buat perkara yang boleh merosakkan parti kerana secara tidak sedar ia boleh mendatangkan masalah kepada parti.

“Jika sayangkan parti, kita perlu fikir panjang,” katanya.


0 comments:

share2