Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 26, 2015

AMARAN PENGGUNA CULAS BAYAR BIL


Amaran pengguna culas bayar bil


Jasin - Amaran bagi mereka yang culas menjelaskan bayaran bil elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka melancarkan operasi khas dinamakan Ops Tuah bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik.

Pengurus Besar TNB Melaka, Datuk Baderul Sham Saad berkata, operasi berkenaan dilakukan terhadap pengguna yang mempunyai bil tertunggak melebihi empat bulan sebagai langkah inisiatif pihaknya untuk meningkatkan aliran tunai, sekali gus mengurangkan hutang organisasi berkenaan.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti seramai 10,000 pengguna sedemikian yang mempunyai tunggakan bil keseluruhan berjumlah RM3.4 juta membabitkan kalangan pengguna kediaman dan komersil.

“Ia membabitkan hanya tiga peratus pengguna bermasalah daripada jumlah keseluruhan 300,000 orang terdiri daripada rumah kediaman dan kormersil. Pemotongan akan dibuat sama ada di saluran kaki lima atau di talian atas seperti di tiang-tiang.

“Selepas mereka menjelaskan semula bil, kita akan menyambungnya kembali. Sasaran kita adalah untuk pengguna tegar yang sengaja tidak mahu membayar," katanya.

Untuk tujuan itu, katanya, pihaknya sudah menyediakan sebanyak lapan pasukan khas seramai lebih 30 kakitangan terdiri dari bahagian teknikal dan keselamatan atau polis bantuan yang menjalankan kerja pemotongan.

“Ops ini akan dibuat secara bersepadu selama dua hari setiap bulan melibatkan anggota kerja bahagian teknikal dan keselamatan. Ia berbeza dengan operasi biasa yang hanya membabitkan unit kawalan kredit.

“Bayarlah segera kalau tidak mahu bekalan elektrik di kediaman anda dipotong. Kita akan menjalankan operasi ini tanpa mengira waktu pejabat, siang atau malam,” katanya pada sidang media di Pejabat Operasi TNB Cawangan Jasin, di sini, semalam.

Turut sama, Pegawai Kewangan Kanan TNB negeri, Mohammad Yusoff Zakaria.

Baderul Sham bagaimanapun berkata, pengguna biasa tidak perlu bimbang dengan tindakan tegas berkenaan.

Menurutnya, TNB menyediakan pelbagai kemudahan saluran untuk orang ramai menjelaskan bayaran bil dan kini tiada alasan pengguna sukar melakukan pembayaran.

“Berbanding dulu, pengguna perlu datang ke pejabat TNB sahaja. Tetapi kini kita ada banyak kios, malah pengguna juga boleh membuat pembayaran menerusi perbankan elektronik,” katanya.


0 comments:

share2