Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 27, 2015

LELAKI GILA TALAK DITAHAN BERSAMA PISTOL


Lelaki gila talak ditahan bersama pistol


Kota Bharu – Seorang lelaki yang dipercayai gila talak kerana melepaskan tembakan serta membakar peluru di hadapan rumah bekas isterinya, Ogos lalu, ditahan polis bersama sepucuk pistol di Kampung Kulim, Pasir Puteh, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 30 tahun dan berasal dari Machang itu ditahan dalam serbuan oleh anggota serta pegawai dari Cawangan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada jam 4 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika serbuan, suspek sedang lena sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa. Dia kemudian cuba bertindak sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai di bawah bantal tempat tidur suspek, pistol jenis Beretta Made In Italy berisi satu peluru dalam kelopak yang siap sedia untuk digunakan (melepaskan tembakan).

“Pihak kami bernasib baik kerana lebih cepat menangkap suspek sebelum dia berjaya mencapai pistol berkenaan. 16 lagi peluru hidup jenis 9MM Luger Ap 15 turut ditemui,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek juga memiliki rekod lampau melakukan ugutan jenayah dengan melepaskan tembakan dan membakar peluru di hadapan rumah bekas isterinya di kampung sama, pada 24 Ogos lalu. 

“Selainnya, suspek juga adalah orang kehendaki kerana terlibat dengan kesalahan cubaan bunuh di Kuantan, Pahang dan menghalang tugas penjawat awam di Batu Rakit, Terengganu serta satu kes menyebabkan kecederaan parah dengan memotong tangan seorang individu pada tahun 2011.

“Bagi kes potong tangan tersebut, suspek sudah dituduh di mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan, namun tidak hadir apabila hari perbicaraan. Pihak kami percaya senjata terbabit digunakan dalam perbalahan serta bertujuan melindungi dirinya yang terbabit dengan jenayah dadah,” katanya.

Mazlan berkata, perintah reman suspek akan disambung hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Dalam pada itu, menurutnya, dua pemuda, Muhamad Harith Samsudin, 22, dan Hafiz Shah Hazman, 29, tidak mengaku salah di mahkamah atas dakwaan memiliki Pistol Colt Super .38 auto berserta dua butir peluru berbungkus tuala yang dijumpai dalam sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.

Katanya, mereka ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di Felda Chiku 6, Gua Musang, pada jam 3.30 pagi, hari sama.

“Tertuduh yang berusia 29 tahun dibebaskan selepas menjelaskan jaminan RM5,000, manakala seorang lagi berada dalam tahanan. Seorang lagi rakan mereka yang berusia 26 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Mereka dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah yang berangkaian antara Gua Musang dan Pasir Mas serta aktif sejak dua tahun lalu. Ada di antara mereka yang memiliki rekod lampau berkait dadah dan mendapatkan pistol berkenaan dari negara jiran,” katanya.


0 comments:

share2