Seorang warga emas tidak menyangka jiran lama yang tidak ditemui sejak lebih 20 tahun lalu bertindak memukulnya dengan menggunakan tukul sehingga cedera di bahagian kepala dan tangan dalam kejadian, awal pagi kelmarin.
Warga emas terbabit, Md Yusof Hitam, 78, berkata, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 2 pagi ketika dia sedang tidur.
“Tiba-tiba pakcik dengar bunyi bising di luar bilik. Pakcik ingat kucing gaduh. Kemudian pakcik dengar anak pakcik minta tolong,” katanya.
Menurutnya, sebaik memasuki bilik anaknya, dia melihat kelibat seorang lelaki sedang berebut barang dengan anaknya lalu bertindak untuk membuka suis lampu.
“Belum sempat pakcik nak buka lampu, tiba-tiba pakcik kena pukul dengan tukul di bahagian kepala tiga kali, sampai luka jugalah pakcik dan kena terima jahitan.
“Jari kelengkeng belah kanan pakcik patah dan jari tangan kiri pun luka sebab pakcik tahan kepala pakcik guna tangan," katanya.
Dalam pada itu, anaknya, Muhammad Arif Md Yusof, 25, berkata, ketika kejadian, dia baharu sahaja pulang dari rumah dan hendak melelapkan mata.
“Tak sampai 15 minit saya dalam bilik, tiba-tiba pintu bilik saya dibuka. Memandangkan masa itu gelap, saya tak nampak siapa orang itu.
“Saya tanya siapa tapi tak berjawab, sebaliknya saya terus dipukul dengan tukul,” katanya.
Muhammad Arif yang luka di hidung berkata, dia sempat mempertahankan diri dengan menggunakan tilam kapas.
“Saya cuba rampas tukul dekat tangan dia sambil minta tolong sebelum lelaki itu kemudian pukul ayah saya.
“Masa dia tengah pukul ayah, saya terus rampas tukul dan pukul lelaki itu sebelum dia larikan diri,” katanya.
Menurutnya, dia dapat melihat dengan jelas lelaki terbabit adalah lelaki yang dikenalinya sejak kecil dipanggil sebagai Umar.
“Kami sekeluarga memang rapat dengan dia sebab dia jiran kami tapi dia dah pindah lebih 20 tahun dah.
“Dua hari lalu, dia datang rumah kami untuk tumpang tidur dan kami layan dia dengan baik,” katanya.
Muhammad Arif berkata, tiada barang yang hilang ketika kejadian dan mereka sekeluarga juga tidak mempunyai sebarang perselisihan dengan lelaki tersebut.
“Bila polis datang, mereka jumpa dua beg berisi baju Umar dan satu lagi berisi alatan perkakas rumah.
“Dia keluar dari rumah kami pukul 11 pagi selepas bermalam di rumah kami. Dia cakap dia nak cari kerja.
“Tapi ada jiran nampak seorang lelaki berjalan di hadapan rumah kami sekitar pukul 5 petang dan pada pukul 2 pagi, dia masuk ke dalam rumah kami tak tahu ikut mana sebab tak ada kesan rumah kami dipecah masuk,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, pihaknya mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas cubaan menyamun.
Menurutnya, polis masih mengesan suspek dipercayai warganegara Indonesia itu.
“Suspek dipercayai cuba menyamun mangsa. Namun motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment