Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 19, 2015

GESA ESSCOM DIPERKUKUH ELAK KES SAMA BERULANG


Bernard Then Ted Fen


Kuala Lumpur - Susulan laporan pembunuhan rakyat Malaysia Bernard Then Ted Fen di selatan Filipina semalam selepas diculik di Sandakan, Sabah pada Mei, ahli Parlimen dari Sabah berharap adanya penguatkuasaan yang lebih tegas bagi mengelak kejadian penculikan seperti itu berulang.

Ahli Parlimen Silam Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata berikutan kejadian seumpama ini, kerajaan perlu memberi penekanan berkenaan soal keganasan dan keselamatan di perairan Sabah.

Beliau berharap peruntukan yang disediakan sejak Bajet 2015 tahun lepas perlu digunakan sebaiknya untuk mempercepat proses tambah baik radar-radar pengesan serta aset keselamatan di Sabah khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Radar yang rosak di kepulauan di sempadan Filipina belum dibetulkan. Peruntukan telah disediakan untuk baik pulih radar tetapi berlaku kelewatan, ini mengecewakan kami, kerana kita tahu jenayah rentas sempadan akan berlaku bila-bila masa," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini semalam.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol pula mencadangkan agar pemantauan dan penapisan yang lebih menyeluruh terhadap kemasukan pekerja Filipina ke dalam negara ini perlu diberi penekanan.

"Kes ini dah lama, tapi kami yakin sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bekerjasama menjalankan tugas dengan menapis pengambilan pekerja dari Filipina ke negara ini, saya pasti kita dapat meletakkan satu tahap keselamatan tinggi terhadap Sabah," beliau berkata.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee pula melahirkan rasa simpati dengan insiden yang tragis itu.

Ronald yang juga ahli Parlimen Beluran berkata walaupun ada dilaporkan kejadian seperti itu tetapi bagi beliau perairan Sabah secara keseluruhannya adalah selamat untuk dilawati.

Singapore Straits Times, melalui berita dalam taliannya di www.straitstimes.com melaporkan bahawa Komander Petugas Bersama Kumpulan Sulu, Brig Jen Alan Arrojado dilaporkan sebagai berkata Bernard Then dipancung kira-kira 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Jolo, di Wilayah Sulu, kira-kira 1,400km ke selatan Manila.

Pada 14 Mei lepas, Then, 39, seorang jurutera elektrik merupakan antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari selatan Filipina yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dalam kejadian pada 7.45 malam.

Seorang lagi mangsa culik Thien Nyuk Fun, 50, yang juga pengurus restoran berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 November lepas, Thien dibebaskan oleh kumpulan penculik itu melalui rundingan antara kerajaan Malaysia bersama kumpulan berkenaan.

Sumber

0 comments:

share2