Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 22, 2015

DULU MANGSA BULI, KINI STUNT WOMAN MALAYSIA


Dulu mangsa buli, kini stunt woman Malaysia



Ilia Iryani Shuib merupakan satu-satunya pelaku lagak aksi profesional Malaysia. Berusia 29 tahun, graduan Ijazah dalam bidang Aquatic Biology (USM) dan Diploma Medical Laboratory of Technology (MSU) ini bercita-cita ingin menjadi Lagenda Stunt Woman pertama di Malaysia dalam aksi berkereta dan motosikal di Asia Tenggara.

Berpeluang bertemu empat mata dengan gadis kelahiran Selangor ini, penulis tidak menyangka orangnya kecil molek dan mempunyai senyuman yang sangat manis. Stigma penulis pada asalnya membayangkan Ilia pasti seorang yang bertubuh sasa dan berotot tegap.

Berbeza dengan penampilan khasnya dalam Filem Adnan Sempit II dan Bro, Nampak Motor Gua?; Ilia sememangnya bertubuh sederhana persis gadis Melayu seusianya.

“Tidak ada yang merubah diri Ilia meski pun menceburi bidang yang dimonopoli golongan lelaki. Ilia masih Ilia yang dulu cuma bukan lagi mangsa buli di sekolah. Ilia kini seorang yang sudah kenal diri sendiri dan mempunyai semangat serta keyakinan tinggi,” kata Ilia ketika ditemui di pejabatnya di Damansara.

Personaliti berubah

Benar. Kata si cantik manis ini, personalitinya ketika zaman persekolahan baik di peringkat rendah dan menegah dahulu adalah pendiam dan pemalu. Ilia seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri dan akibatnya dia tidak aktif.

Namun, setelah melangkah ke sekolah menengah dan alam universiti, Ilia tertarik menyertai kelas silat dan dari situlah keyakinan dirinya semakin berubah dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Dari seorang kanak-kanak pendiam, Ilia menjadi pelajar aktif yang seringkali mewakili sekolah di dalam olahraga. Melangkah ke alam dewasa, profesion wanita ini berubah malah, dia pernah menganjurkan program berkaitan motorsport.

Dan kini, Ilia merupakan antara pelatih perempuan di Akademi Latihan Stunt di bawah pengurusan Movie Animation Park Studios (MAPS) iaitu taman tema animasi pertama di Asia yang akan dibuka di Ipoh, Perak, tahun hadapan. 

Akademi ini bertujuan menyediakan pelaku stunt untuk khidmat Stunt Legend yang merupakan salah satu daripada 40 tarikan utama yang akan dihidangkan kepada pengunjung taman tema tersebut.

Mendapat latihan daripada Stunt Man Australia, Cameron Ambridge dan melalui uji bakat tertentu, Ilia melahirkan rasa berbangga kerana terpilih untuk menyertai Stunt Legends, MAP.

“Program Stunt Legend menyediakan bakat tempatan peluang untuk memanfaatkan kemahiran pelatih dan Ilia diberikan latihan daripada pakar aksi terbaik dalam industri ini.

“Macam mimpi yang jadi kenyataan. Ilia pun tak tahu apa yang mereka nampak dalam diri Ilia sebab masa datang uji bakat Ilia biasa-biasa sahaja.

“Ilia dah lalui beberapa latihan asas dan tak dinafikan ada banyak perkara yang perlu Ilia pelajari. Industri ini memang mencabar, malah jari Ilia pernah putus dalam satu aksi melibatkan motosikal berkuasa besar,” katanya.

Kerjaya impian

Menyimpan harapan agar profesion ini menjadi kerjayanya untuk tempoh jangka masa panjang, Ilia berkata, beliau sangat optimis sedemikian kerana minatnya yang terlalu mendalam.

“Awalnya memang keluarga terutama ibu bapa rasa macam tak percaya yang Ilia mahu pilih kerjaya ini. Tapi setelah Ilia beri penjelasan dan mereka lihat sendiri kemampuan Ilia akhirnya mereka berikan galakan.

“Ilia harap ini akan menjadi kerjaya utama bukan semata-mata hobi. Di bawah naungan MAPS Ilia mendapat peluang lebih besar dalam mempelajari skill serta teknik sebenar dari mereka yang benar-benar profesional,” akhirinya.


0 comments:

share2