Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 25, 2015

DERITA HIDUP 10 BERANAK


Derita hidup 10 beranak


Parit Buntar - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib menimpa sebuah keluarga di Kampung Parit Tanjung Piandang di sini, apabila ketua keluarganya tidak mampu bekerja akibat mengalami sakit lutut kronik.

Lebih malang, anak bongsu mereka yang berusia sembilan bulan disahkan mempunyai masalah alat kelamin, komplikasi jantung serta masalah penglihatan sejak dilahirkan.

Ketua keluarga, Azman Saidin, 43 berkata, dia dan isterinya, Sosilawati, 39, kini buntu mencari dana bagi membiayai kos rawatan penyakit Muhammad Latif.

Menurutnya, Muhammad Latif lahir dalam keadaan pramatang dengan berat 3.2 kilogram.

“Kini, berat badan Muhammad Latif hanya 4 kilogram,” katanya sewaktu ditemui media pada majlis kunjungan ziarah Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain semalam.

Azman berkata, dia kini menunggu tarikh menjalani pembedahan masalah alat kelamin bayinya yang dirujuk di Hospital Taiping.

Menurutnya, alat kelamin anaknya itu tidak normal kerana lubang kencingnya tidak berada di tempat sepatutnya.

“Bagaimanapun dia berpeluang hidup normal jika pembedahan dilakukan,” katanya.

Azman berkata, meskipun hospital memberi jaminan bahawa kos pembedahan tersebut akan ditanggung sepenuhnya namun dia bingung memikirkan kos rawatan penyakit lain dihidap anak bongsunya itu.

Menurutnya, selepas ini, Muhammad Latif perlu menjalani pemeriksaan susulan komplikasi jantung dan masalah penglihatan di Hospital Taiping.

“Kami sekeluarga perlu berulang-alik ke Hospital Taiping lebih tiga kali sebulan dan kos perjalanan untuk ke sana juga amat tinggi.

“Tambahan pula, saya tidak lagi bekerja sejak empat bulan lalu kerana sakit lutut kronik, perbelanjaan menyara Muhammad Latif serta tujuh lagi anak bersekolah membingungkan saya," katanya.

Azman berkata, kini perbelanjaan keluarga ditanggung anak sulungnya, Muhammad Izuwan, 18, yang bekerja kilang di Prai, Pulau Pinang.

Jelasnya, dia kini dalam tempoh bercuti sakit dan sedang memohon bantuan pencen ilat setelah disahkan hilang keupayaan bekerja oleh pihak hospital.

“Saya harap ada bantuan untuk keluarga kami menempuh detik sukar ini, usahkan mahu kumpulkan wang untuk pembedahan, perbelanjaan setiap kali berjumpa dengan doktor pakar pun kami tidak mampu,” katanya.

Sementara itu, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga Azman.

Katanya, masalah dihadapi Muhammad Latif dan Azman sekeluarga akan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Perkeso.

“Selain itu, saya akan berusaha membantu memasukkan salah seorang daripada tujuh anak keluarga itu ke sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Perak bagi membolehkannya mendapat pembiayaan pengajian sepenuhnya oleh pihak sekolah,” katanya.

Kepada yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Azman Saidin 107116558344 atau hubungi terus di talian 014-7427436.


0 comments:

share2