Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 25, 2015

CUBA MENYOROK BAWAH MEJA


Cuba menyorok bawah meja


Teluk Intan – Taktik seorang lelaki warganegara Indonesia menyorok di bawah meja bagi mengelak dikesan penguatkuasa Jabatan Imigresen Teluk Intan tidak berhasil apabila dia diberkas dalam satu operasi yang dijalankan Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 hingga 4 pagi itu, Jabatan Imigresen Teluk Intan dibantu Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Lumut menjalankan Ops Pintu di Jalan Kampung Banjar, di sini.

Ketua Imigresen Daerah Hilir Perak, Khairul Anuar Sulaiman berkata, anggotanya bertindak mengepung rumah didiami warga asing tersebut.

"Disebabkan tidak boleh melarikan diri, lelaki itu cuba menyorok di bawah meja makan yang terletak bersebelahan dengan peti ais.

“Hasil siasatan didapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya.

Menurutnya, seramai sembilan warganegara Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita ditahan dalam Ops Pintu Jumaat lalu kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Kami telah memeriksa tiga lelaki warganegara asing di pintu pertama dan kemudiannya memeriksa seorang wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan di pintu kedua semasa serbuan pertama di Lot 11806F, Jalan Kampung Banjar pada jam 1.25 pagi.

“Hasil pemeriksaan dua lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia telah ditahan kerana tinggal melebihi masa di negara ini,” katanya.

Katanya, pihak Imigresen kemudiannya memeriksa rumah kedua di Lot 11806D berhampiran lokasi pertama sekitar jam 1.30 pagi dan menjalankan pemeriksaan terhadap enam warganegara asing yang berada dalam rumah tersebut.

“Kesemua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya,

Khairul Anuar berkata, atas maklumat awam pihaknya telah memeriksa enam buah rumah yang didiami warganegara asing di sekitar Jalan Kampung Banjar bersempena Ops Pintu tersebut.

“Hanya dua buah rumah sahaja didapati didiami warganegara Indonesia yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), manakala bakinya mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Mereka yang melakukan kesalahan akan ditahan. Ini menunjukkan pihak Imigresen memandang serius masalah pendatang tanpa izin (Pati) di negara ini,” katanya.


0 comments:

share2