Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 30, 2015

BAYI `AJAIB' SELAMAT BERKHATAN


Bayi 'ajaib' selamat berkhatan


Port Dickson - Bayi enam bulan yang tercampak keluar dari kereta dan jatuh di tengah jalan raya dalam satu kemalangan di Seremban sembilan tahun lalu, selamat dikhatankan semalam.

Dalam kejadian itu, Muhamad Ikmal Khuzairi Mohd Roslan dianggap sebagai bayi 'ajaib' apabila tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ayahnya meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Sementara ibunya, Maslina Mustafa, 39, dan dua kakak yang turut tercampak dari kenderaan mengalami cedera ringan.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 3 petang ketika mereka sekeluarga pulang ke rumah di Kepong selepas menghadiri sambutan hari keluarga di Melaka.

Muhamad Ikmal Khuzairi yang kini berusia 9 tahun merupakan seorang daripada 26 kanak-kanak lelaki yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai 2015 anjuran Masjid Kariah Kampung Paya, semalam.

Dia yang kelihatan gelisah ketika ditemani ibunya di bilik berkhatan bermain 'game' di i-Pad untuk mengurangkan kerisauan. 

Katanya, dia takut untuk berkhatan tetapi bersetuju melakukannya selepas dipujuk emak, kakak dan ahli keluarga yang turut hadir menemaninya.

Bagaimanapun, sebaik selamat dikhatankan lebih kurang jam 11.30 pagi, Muhamad Ikmal Khuzairi yang memakai kain pelekat dan berbaju-T kelihatan berjalan keluar dengan tersenyum.

Kakak sulungnya, Nurlyana Sharin, 17, berkata, dia risau melihat keadaan adiknya yang menangis tidak mahu berkhatan.

“Adik sebenarnya dah masuk dalam bilik tu tapi keluar balik, kata nak pergi tandas, rupanya dia takut. Lama juga nak pujuk dia masuk semula.

“Semalam (kelmarin) dia tak takut pula.. tadi masa berarak dan bersiram dengan bomba pun dia masih boleh ketawa dengan sepupu yang sama-sama berkhatan.

“Mungkin dia takut sebab dengar orang lain menangis. Apapun saya bersyukur sebab adik dah dikhatankan, saya tengok mak pun dah lega,” katanya.

Sementara itu, sepupu Muhamad Ikmal Khuzairi, Amein Daniel Aminuddin, 9, berkata, dia tidak rasa sakit sepanjang proses berkhatan.

“Tadi memang saya nangis sebab saya tengok orang sebelum tu nangis kuat, jadi saya ikut nangis,” katanya yang bercita-cita mahu jadi doktor apabila dewasa kelak.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Kariah Kampung Paya, Zainal Azim Amor berkata, ini kali kedua penganjuran program itu dan dijalankan dengan kerjasama Klinik Othman.

“Sebelum khatan, kanak-kanak terlibat diarak sambil berselawat. Turut diadakan acara bersiram dengan bantuan bomba,” katanya.


0 comments:

share2