Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 9, 2015

[TIOMAN] LAKUKAN SOLAT HAJAT JIKA PERLU


Lakukan solat hajat jika perlu


"Isu berkaitan masalah bekalan air bersih di Pulau Tioman yang di laporkan Sinar Harian (semalam), adalah isu yang perlukan perhatian serius," kata Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain.

Beliau yang ditemui memberitahu, dirinya memandang serius permasalahan yang berlarutan ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan penduduk tempatan tetapi pelancong yang berkunjung ke pulau berkenaan turut menerima tempias.

"Pulau Tioman adalah pulau peranginan yang cukup terkenal di dalam dan luar negara. Masalah bekalan air ini secara tidak langsung memberikan imej negatif sekali gus boleh menjejaskan jumlah kunjung pelancong pada masa akan datang.

"Sehubungan itu, pihak berwajib yang berkenaan perlu memandang serius isu ini dan mengambil jalan penyelesaian konkrit pada kadar segera," katanya.

Jelasnya, masalah bekalan air bersih adalah isu dan merupakan satu keperluan.

"Pihak saya sedia maklum akan hal ini kerana beberapa siri perbincangan berhubung projek berkaitan telah diadakan. Malah, projek berkenaan telah pun ada kelulusan. Namun, memandangkan terdapat segelintir pihak penduduk tidak bekerjasama dalam memberikan hak laluan saluran paip, maka projek berkenaan tergendala.

“Justeru, saya mohon pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini. Saya juga mencadangkan supaya dibuat beberapa pilihan kepada penduduk sebagai contoh beri air percuma kepada penduduk dalam tempoh tertentu sehingga tamat tempoh sebelum dikenakan bil pada kadar biasa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang turut menghargai sumbangan penduduk dalam menyediakan penyaluran air masing-masing untuk kegunaan sendiri.

Namun menurut beliau, usaha berkenaan tetap perlukan penambahbaikan bagi mendapatkan bekalan air bersih yang juga diperlukan sekolah serta penjawat awam yang bertugas di Pulau Tioman.

“Berdasarkan keadaan ini, saya akan menggesa pelbagai pihak yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan terlibat pada bulan Oktober ini supaya duduk semeja bagi menyelesaikan masalah ini.

"Saya melihat masalah ini tidaklah sukar atau rumit jika pihak terlibat bertolak ansur. Jika perlu, kita akan adakan solat sunat hajat mohon dipermudahkan masalah ini diselesaikan,” katanya.

Cadang Monkey Bay jadi sumber air

Dalam pada itu, isu bekalan air bersih dihadapi Kampung Salang dan Kampung Tekek, di kampung-kampung lain pula terkecuali kerana mempunyai punca air yang masih mencukupi setakat ini.

Berkaitan projek menyalurkan bekalan air bersih dari Kampung Tekek hingga ke Kampung Salang itu, ada penduduk yang berasakan ia seperti sukar untuk dilaksanakan dan mereka sendiri mempunyai cadangan untuk pertimbangan pihak berkenaan.

Penduduk Kampung Air Batang, Abdul Hafaz A Hamid, 52, berkata, jarak dari Kampung Tekek ke Kampung Salang agak jauh selain perlu melalui kawasan berbukit yang tinggi yang mungkin menyukarkan atau menyumbang masalah proses penyaluran air.

Menurutnya, terdapat sumber air di kawasan Monkey Bay yang lebih hampir dengan Kampung Salang dan mungkin kawasan itu boleh dijadikan loji sumber air bersih untuk disalurkan ke sana.

“Projek penyaluran bekalan air bersih dari Kampung Tekek ke Kampung Salang telah lulus, namun tergendala dan paipnya berlonggok di kampung saya. Memang ada perbincangan melibatkan beberapa pihak untuk menyelesaikan isu ini... dan penduduk cadangkan supaya Monkey Bay dijadikan tempat proses bekalan air bersih sebelum disalurkan ke Kampung Salang.

“Tapi, ada juga isu berbangkit lain seperti keperluan wujudnya loji air di Monkey Bay yang dijangka menelan kos tinggi berbanding bina satu sahaja di Kampung Tekek kemudian disalurkan ke kampung lain,” katanya.

Kompleks Pendidikan Tioman juga terjejas

Abdul Hafaz juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, tidak menafikan masalah air beri kesan besar kepada Kompleks Pendidikan Tioman yang turut menempatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek.

Katanya, jumlah pelajar bagi kedua sekolah berkenaan sekitar 400 orang. Manakala, jumlah pelajar yang tinggal di asrama yang terkesan secara langsung jika ketiadaan bekalan air tidak kurang daripada 60 orang.

“Semenjak masalah air mula kritikal di kawasan Kampung Tekek, sejumlah pelajar asrama memang sangat terkesan sebab mereka perlukan air nak mandi dan aktiviti seharian lain seperti solat.

“Saya bersama beberapa pihak lain ambil inisiatif cari sumber air lain sebagai penyelesaian jangka pendek dengan sedut air bukit di kawasan lain. Tapi, bekalan itu tidak mencukupi pada waktu kemuncak,” katanya.

Menurutnya, beliau telah membawakan permasalahan berkenaan ke pengetahuan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin dan hasil perbincangan setuju untuk menggali sumber air dalam kawasan sekolah.

“Hasil perbincangan dengan Datuk Hasan telah bersetuju untuk menggali sumber air dalam kawasan sekolah namun sebelum projek berjalan saya perlukan khidmat nasihat dan juga bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Rompin bagi mengkaji status keselamatan sumber air itu sebelum boleh digunakan oleh para pelajar,” katanya.

0 comments:

share2