Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 5, 2015

TIGA BERADIK CETUSKAN MISTERI


Tiga beradik cetuskan misteri


Bandaraya Melaka - Melihat tiga kanak-kanak di bawah umur yang tidur dengan berpakaian kemas di sekitar padang Dataran Pahlawan pada waktu dinihari, pasti menimbulkan tanda tanya sesiapa sahaja melalui kawasan tersebut.

Keadaan itu akan lebih mendatangkan kecurigaan kepada golongan dewasa termasuk saya apabila dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, ditemui tidur di atas bangku di kaki lima padang berkenaan kira-kira jam 3 pagi.

Soalan demi soalan ditanya bukan sahaja dijawab tenang, malah tiada riak takut atau cemas terlakar di wajah setiap tiga kanak-kanak itu yang mendakwa menetap di Ujong Pasir, di sini.
Menurut kanak-kanak ini, mereka adalah adik-beradik, cuma seorang daripada mereka berlainan ibu disebabkan bapa mereka berkahwin dua.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada benar ketiga-tiga mereka ada talian hubungan adik-beradik atau sebaliknya.

“Kami tengah tunggu mak datang amik tapi pasal mengantuk, tu yang tertidur kat sini,” jawab salah seorang daripada mereka ketika ditanya Pegawai Kebajikan Masyarakat dari Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) di lokasi kanak-kanak itu ditemui, semalam.

Jawapan itu membuat saya tersentak, mengapa ada ibu sanggup lakukan sedemikian terhadap anak-anak? Tergamak membiarkan mereka terlalu lama menunggu, bukan di siang hari tapi di tengah-tengah kepekatan malam.

Malah, jawapan ‘mak pergi makan dengan kawan-kawan’ membuatkan hati saya bercampur baur dek kerana sikap si ibu yang seolah-olah tidak mementingkan keselama-tan anak-anak.

Saya terfikir, jika keluarga biasa pasti perbuatan anak-anak di bawah umur tidak pulang-pulang ke rumah sehingga awal pagi pasti sebegitu sudah merisaukan ibu bapa mereka hingga boleh membawa kepada laporan polis, meskipun kehilangan belum sampai tempoh 24 jam.

Emosi yang masih dibatasi fikiran rasional itu bagaimanapun membuat saya terfikir sikap tampak angkuh ibu bapa kanak-kanak terbabit, seakan-akan tidak pernah mengendahkan dedahan penculikan dan kes pemerdagangan orang yang sering disiarkan di dalam kebanyakan akhbar tempatan.

Ketika ditemubual, dua kanak-kanak perempuan bertudung dan lelaki bertopi itu mendakwa pada mulanya sekadar berjalan-jalan dengan ibu mereka di sekitar Pusat Beli Belah Dataran Pahlawan sejak jam 12 tengah hari, sebelum kesemuanya berhibur di salah sebuah premis karaoke di pusat membeli-belah terbabit.

"Dalam pukul 3.30 petang emak kata mahu jumpa kawan-kawan. Mak ajak kami tapi kami tak mahu sebab nak teruskan berkaraoke," katanya.

Menurut salah seorang daripada kanak-kanak itu, mereka berjanji untuk bertemu semula di kawasan Dataran Pahlawan, bagaimanapun panggilan kepada ibu mereka tidak dijawab, menyebabkan kanak-kanak itu kemudian ke kawasan Pahlawan Walk.

Mereka kemudian kembali semula ke Dataran Pahlawan dan menunggu si ibu sehingga tertidur di bangku pada tembok bunga yang terdapat di situ.


Tak ingat nombor telefon ibu

Bagaimanapun, berlaku perkara yang menghairankan apabila ketika pihak JKM dan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang menyelesaikan masalah kanak-kanak itu, semalam muncul seorang lelaki mengaku abang kepada ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.

Lelaki itu berkata, dia datang untuk menjemput dan mengatakan ibu mereka berada di dalam kereta dalam kejadian kira-kira 3.15 pagi.

Namun begitu. lelaki lingkungan usia 30-an berkemeja coklat itu berlalu meninggalkan kawasan tersebut selepas pegawai JKM memintanya memanggil ibu mereka yang memandu kereta jenis Perodua Kancil.

Dari kejauhan, kelihatan wanita berskirt pendek berwarna gelap itu tidak mempedulikan lelaki berkemeja coklat, sebaliknya terus memasuki kereta dan memandu meninggalkan anggota penguatkuasa serta wartawan yang ada di situ menyebabkan kami terpinga-pinga melihat apa yang berlaku.

Berikutan tidak mahu membuang masa, anggota penguatkuasa MBMB dan pegawai JKM membuat keputusan untuk menghantar tiga beradik berkenaan ke rumah mereka.

Tindakan itu dibuat selepas kanak-kanak itu mendakwa tidak mengingati nombor telefon menyebabkan kegagalan untuk menghubungi penjaga mereka.

Selang 10 minit kemudian, datang seorang wanita berjubah hitam dan beselendang menaiki sebuah kereta pacuan empat roda mengaku ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut.
Kenyataan wanita itu yang mendakwa baru tiba di Melaka selepas mempunyai urusan di Kuala Lumpur menimbulkan satu lagi persoalan - Kami ditipu budak-budak?

Malah wanita terbabit mengaku mengenali ibu kepada kanak-kanak lelaki yang sedang sakit di rumah dan risau anaknya itu tidak balik ke rumah, selain mengatakan ketiga-tiga mereka bukanlah adik beradik.

“Lepas ni aku nak korang semua kemas baju, angkut semua barang, ikut aku balik KL. Takde dah nak tinggal dengan mak angkat mak angkat tu,” marah wanita tersebut dalam keadaan nada masih dikawal.

Selepas kes dianggap selesai, kami mula menuju ke lokasi seterusnya dalam operasi bersepadu MBMB bersama agensi lima agensi lain iaitu Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Jabatan Kesihatan negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK).

Namun, beberapa langkah menuju ke pakir kereta untuk meninggalkan kawasan berkenaan terlintas di benak fikiran saya - Apakah benar wanita itu ibu salah seorang kanak-kanak terbabit?

Sedangkan ‘dua beradik’ perempuan yang kononnya berlainan ibu itu juga mempunyai wajah hampir sama.

Terlintas juga di hati, mengapa perlu bersangka buruk. Doakan sahaja kanak-kanak itu selamat.

Bagaimanapun, apa yang berlaku itu seolah-olah ada sesuatu rahsia yang belum dapat dibongkarkan.

0 comments:

share2