Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 18, 2015

KUANTAN NAMA JALAN DI CHINA


Kuantan nama jalan di China


Nama bandar Kuantan bakal tercatat di sebuah jalan di Qinzhou, China April tahun depan selepas persetujuan bersama mengadakan program Bandaraya Persahabatan antara Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Datuk Bandar Qinzhou.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, dalam pertemuan pada 18 dan 20 September lalu, mereka ber- setuju mengadakan program satu hari iaitu Kuantan Day (tahun genap) dan Qinzhou Day (Tahun Ganjil).

Menurutnya, program Bandaraya Persahabatan antara lain bakal menarik lebih ramai pelabur dari China dan mempromosikan Kuantan sebagai destinasi pelancongan.

“Mereka setuju menamakan satu jalan sebagai Kuantan Street di bandar itu dan kita juga akan melakukan perkara sama sebagai tanda persahabatan,” katanya yang akan menubuhkan jawatankuasa induk dan jawatankuasa kerja untuk bermesyuarat dalam
tempoh terdekat.

Menurutnya, Ahli Majlis MPK, Yap Kin Heng dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa berkenaan.

“Kita sudah menandatangani satu perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak atas prinsip memberi manfaat melalui kerjasama diplomatik dan kesamarataan antara dua negara dan menghormati satu sama lain,” katanya.

Zulkifli berkata, cadangan program sehari pada 1 April 2016 bermula di Kuantan dengan pelbagai acara menarik yang boleh disertai pelbagai kaum dan peringkat umur.

Menurutnya, perancangan awal membabitkan simposium, forum, kesenian dan kebudayaan, perlawanan sukan persahabatan dan aktiviti pertukaran belia.

“Aktiviti tambahan lain ialah lawatan ke destinasi pelancongan, festival makanan tempatan dan latihan kerja pegawai kedua-dua bandar,” katanya.

Atas persetujuan bersama juga, katanya, MPK akan membiayai kos pada Qinzhou Day dan sebaliknya kepada pihak rakan kerjasama manakala penginapan dibiayai oleh bandar tuan rumah.

0 comments:

share2