Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 5, 2015

JEREBU BOLEH BAWA MAUT


Jerebu


Shah Alam - Sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) negara ini meningkat secara berterusan dan mencecah tahap bahaya, ia boleh memberi kesan buruk kepada pesakit-pesakit kronik berkaitan saluran pernafasan sehingga boleh membawa maut.

Pegawai Perubatan Hospital Selayang, Dr Saraswathy Apparow berkata, pesakit asma, jantung dan radang paru-paru yang berusia merupakan golongan paling berisiko tinggi menerima kesan daripada masalah jerebu.

“Partikel halus yang memasuki saluran pernafasan terus ke dalam paru-paru akan menyebabkan ia terperangkap, sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan pernafasan.

“Dalam keadaan berusia, seseorang itu tidak mempunyai sistem ketahanan tinggi. Ada pesakit terpaksa dimasukkan unit rawatan rapi (ICU) akibat jerebu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, semua pesakit kronik berkaitan pernafasan perlu mendapatkan rawatan sekerap mungkin sepanjang musim jerebu.

“Jika tidak buat rawatan, kita bimbang pesakit-pesakit akan berdepan komplikasi pernafasan.

“Jika orang normal (tidak sakit) terkesan dengan jerebu, bagi orang yang sakit mereka lebih berisiko,” katanya.

Beliau turut menasihati pesakit supaya tidak melakukan aktiviti luar dan memakai topeng muka walaupun berada di dalam rumah.

“Begitu juga dengan pengambilan air. Kita minta mereka mengambil sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari.

“Air begitu penting bagi menghidratkan badan daripada cuaca panas serta udara kotor ketika jerebu,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan memaklumkan bahawa pesakit yang mendapatkan rawatan penyakit berkaitan saluran pernafasan kesan daripada jerebu di negeri berkenaan meningkat kepada 30 peratus.

Beliau berkata, data tersebut melibatkan pesakit yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

0 comments:

share2