Sindiran dan cemuhan bukan penghalang kepada peserta Pertandingan Keceriaan Peringkat Kebangsaan 2015, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 53, untuk menyertai pertandingan berkenaan bagi tahun ke tujuh.
Menurutnya, ada juga beberapa individu yang memandang rendah usahanya dengan pelbagai kata-kata yang tidak menyenangkan tetapi perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya.
Wan Rahimi berkata, ada di antara mereka yang menganggap usahanya sebagai membazir kerana pemasangan banyak pemasangan bendera yang menjadi hiasan utama.
“Bagi saya, paling utama ialah semangat patriotik yang dapat ditunjukkan melalui perhiasan dan tampalan bendera kepada penduduk setempat dan orang ramai yang datang ke kedai makan saya,” katanya
Katanya, bagi tahun ini, arca sehati sejiwa dari bahan terbuang dan botol lama menjadi taruhan menghias kedainya di Kampung Peramu, di sini.
Wan Rahimi menggunakan pengalamannya dengan menambah baik beberapa perhiasan bahan terbuang untuk membina bendera dan perhiasan di sekitar kedai makan miliknya.
Menurutnya, perhiasan itu juga adalah hasil idea rakan-rakan dan jiran terdekat yang turut memberi semangat untuk menceriakan premisnya.
“Saya banyak bertanya pendapat mereka supaya lebih banyak elemen dapat ditambah untuk memastikan ada pembaharuan hiasan dan ada kelainan berbanding tahun sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Rahimi berkata, dia tetap berharap usahanya bersama rakan lain berbaloi untuk dipilih sebagai pemenang selepas mendapat beberapa pengiktirafan daripada kerajaan sebelum ini.
Empat premis, satu kawasan perumahan dan satu kampung tradisional di negeri ini terpilih dalam Pertandingan Keceriaan Peringkat Kebangsaan 2015 selepas memenangi pertandingan peringkat negeri.
Antara yang dipilih ialah Taman Agropolitan, Nenasi Pekan berjaya memenangi kategori Taman Perumahan, Kampung Pawah Rawas, Raub pula dipilih sebagai yang terbaik bagi kategori Kampung Tradisional manakala bagi kategori Anjung Komuniti 1 Malaysia dimenangi Anjung Komuniti Bestari Keratong 3, Rompin.
Selain itu, empat lagi premis lain yang turut dipilih untuk ke peringkat kebangsaan ialah Majlis Daerah Bentong, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Pulai Temerloh, Tadika Seri Kuantan dan Kedai Makan Wan Rahimi.
0 comments:
Post a Comment