Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 6, 2015

MAMPUKAH KIM SWEE UBAH NASIB HARIMAU MALAYA?


Ong Kim Swee


Pelantikan ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menerajui pasukan kebangsaan menjadi tanda tanya terhadap kemampuannya menebus kembali maruah bola sepak negara yang tercalar.

Persoalan yang berlegar di fikiran banyak pihak ialah sama ada Kim Swee, 45, mampu mengubah nasib Malaysia untuk menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia
2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang turut bertindak sebagai pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia?

Bekas pemain kebangsaan era 90-an, Nizam Jamil melihat pelantikan Kim Swee mampu memberi nafas baharu dalam corak taktikal skuad negara, namun untuk mengubah nasib skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019, agak sukar. 

"Saya yakin dengan kemampuan Kim Swee kerana beliau sebelum ini pernah mengendalikan sementara skuad kebangsaan, selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan terutama di peringkat bawah umur.

"Cuma yang menjadi isu ialah sikap kebertanggungjawaban pemain kepada tugasan negara. Mereka harus sedar apabila mewakili negara, ia satu penghormatan dan justeru itu, mereka harus mengubah sikap dan mentaliti," katanya kepada Bernama. 

Dalam pada itu, pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata sikap pemain yang mementingkan imbuhan semata-mata, berbanding berasa bangga mewakili negara, akan menjadi 'gunting dalam lipatan' bagi Kim Swee untuk membimbing skuad kebangsaan. 

Katanya jika sikap itu masih ada dalam diri pemain, ia boleh merencatkan kemajuan bola sepak negara, sekali gus menyukarkan Malaysia untuk terus bersaing dengan gergasi bola sepak Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Qatar dan UAE.

Beliau berkata pemain bola sepak dahulu yang ingin meneruskan kerjaya mereka dalam bidang itu perlu mempunyai pekerjaan tetap untuk memperoleh pendapatan, memandangkan persatuan bola sepak negeri hanya menyediakan elaun. 

"Saya lihat perkara itu (bangga mewakili negara), kini sudah tiada dalam kamus hidup atlet negara (termasuk pemain bola sepak). Mereka (atlet sekarang) mudah mendapatkan penajaan atau sumbangan bagi menyertai perlawanan persahabatan mahupun kejohanan di luar negara.

"...sedangkan pada zaman dahulu, atlet terpaksa bertungkus lumus mencari wang bagi menampung perbelanjaan mereka sebelum beraksi di luar negara," kata Khoo yang merupakan Sejarawan Negara. 

Kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh pasukan berada di ranking ke-70 dunia, UAE di Abu Dhabi pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, Khamis lepas, merupakan detik hitam dalam bola sepak negara. 

Ia adalah kekalahan terburuk skuad negara selepas dimalukan oleh New Zealand 8-2 pada aksi persahabatan di sini pada 1967.

Susulan kekalahan itu, Dollah Salleh, semalam mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, mengumumkan Kim Swee sebagai penggantinya.

0 comments:

share2