Bukan sekadar masalah habuk, penduduk sekitar Kampung Balok turut berhadapan masalah jerebu yang didakwa semakin teruk melanda kawasan itu.
Penduduk mulai bimbang apabila cuaca semakin tidak menunjukkan sebarang tanda keadaan akan pulih, meskipun sejak kebelakangan ini hujan mulai turun di kawasan yang dilanda Jerebu.
Malah, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan Balok Baru, di sini mencatatkan penurunan daripada 189 kepada 122.
Meskipun berlaku penurunan, namun begitu ia masih lagi disifatkan dalam kategori tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan bagi golongan yang berisiko tinggi mempunyai masalah kesihatan.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (Jas), bacaan IPU di Indera Mahkota dan Jerantut turut berlaku penurunan daripada 173 serta 160 kepada 94 yang disifatkan tahap pencemaran sederhana dan lazimnya tidak membahayakan kesihatan umum.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Kampung Balok, Mansor Mokhtar berkata keadaan jerebu dan berhabuk memang mengundang masalah kepada mereka kerana risau menjadi punca pelbagai penyakit.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk dan aktiviti luar rumah terpaksa dihadkan.
“Sejak petang semalam jerebu kelihatan teruk dan hari ini saya lihat seperti ada sedikit perumahan.
“Memang di kawasan ini kami berdepan masalah habuk akibat aktiviti keluar masuk kenderaan berat atau lori tetapi kini semakin teruk dengan kemunculan jerebu.
“Melihat keadaan sebegini, memang kami risau dan aktiviti harian terpaksa dibataskan,” katanya ketika dihubungi kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada penduduk di kawasan perkampungannya itu menggunakan topeng muka sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti luar.
“Ini penting bagi mengelak dijangkiti penyakit seperti sesak nafas,” katanya.
Seorang penduduk, Rahmah Abdul Rahman, 50, berkata, dia terpaksa menggunakan penutup mulut dan hidung kerana bimbang cuaca tidak sihat itu menjejaskan kesihatan.
“Saya mula pakai penutup mulut dan hidung kerana melihat keadaan cuaca semakin teruk.
“Sebaiknya, orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ini untuk melakukan aktiviti di luar rumah kerana pencemaran cuaca boleh mendatangkan pelbagai penyakit,” katanya.
0 comments:
Post a Comment