Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 1, 2015

[KUANTAN] PAHANG SEDIA 30,000 UNIT RUMAH PR1MA DI 70 LOKASI


PR1MA


Rakyat negeri Pahang yang berpendapatan rendah dan ingin memiliki kediaman sendiri boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri kini menyediakan sebanyak 30,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di 70 lokasi strategik seluruh negeri. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah tersebut yang ditawarkan pada harga RM150,000 memberi alternatif kepada rakyat Pahang dalam suasana harga pasaran rumah yang begitu tinggi di negara ini.

"Setakat ini terdapat dua projek PR1MA Pahang yang telah siap iaitu di Gambang, Kuantan dan Triang, Bera manakala projek selebihnya masih berada pada pelbagai peringkat pembangunan termasuk peringkat meratakan tanah dan pembersihan kawasan.

"Buat masa ini, jumlah pemohon yang berdaftar dengan kami untuk memiliki rumah PR1MA Pahang ialah sebanyak 20,000 orang sedangkan bilangan unit rumah PR1MA Pahang yang telah diluluskan untuk pembinaan oleh kerajaan negeri berjumlah 30,000 unit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca Peringkat Negeri dan Kempen Pengumpulan Satu Juta Botol bertemakan 'Satu Juta Botol Satu Impian' di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah SW Corp Negeri Pahang, Datuk Mohd. Nor Afandi Abd Aziz.

Wan Rosdy dalam pada itu juga meminta rakyat negeri ini tidak perlu bimbang dengan isu harga rumah mahal memandangkan masih terdapat projek perumahan selain PR1MA yang menyediakan rumah mampu milik yang dibangunkan agensi lain.

PR1MA Pahang menawarkan rumah teres setingkat pada harga mampu milik dan selesa dengan keluasan 1,000 kaki persegi kepada golongan sasaran iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM5,000 ke bawah sebulan.

Pahang juga merupakan antara negeri yang menguatkuasakan arahan untuk mewajibkan semua unit kediaman mengasingkan sisa pepejal bermula semalam selain Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

0 comments:

share2