Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 30, 2015

[KUALA LIPIS] 'SAYA BERSYUKUR SANGAT'


Saya bersyukur sangat


Kuala Lipis - Keceriaan jelas terpancar di wajah empat mangsa insiden kebakaran pada 12 Jun lalu apabila menerima sumbangan zakat bernilai RM1,000 daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) negeri, di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Merapoh.

Seorang mangsa RPS Merapoh, Samsiah Mohamad, 61, antara empat mangsa kebakaran itu berkata, bantuan yang diterima akan digunakan untuk menampung kekurangan perbelanjaan untuk membeli peralatan membina semula rumah setelah insiden berkenaan.

“Saya bersyukur sangat dengan bantuan ini. Secara tak langsung, rasa sedih sebelum ni sedikit terubat.

“Wang zakat ini termasuk sumbangan kerajaan negeri, Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) dan dermawan lain sebelum ini, saya gunakan bagi menampung beli barang untuk buat rumah semula,” katanya di RPS Merapoh di sini, kelmarin.

Hadir menyempurnakan sumbangan zakat bernilai RM250 seorang kepada mangsa berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Hadir sama Penghulu Mukim Batu Yon Dua, Ilyas Zuhdy dan Ketua Kampung Merapoh, Tengku Othman Tengku Ahmad.

Samsiah yang berstatus ibu tunggal berkata, dia masih memerlukan bantuan daripada semua pihak untuk memulihkan kehidupan khususnya membina semula kediamannya.

“Saya harap dapat bantuan segera daripada pihak berwajib dan berkira mencongak keperluan untuk bina rumah baharu tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu Mustapa berkata, sumbangan itu dapat meringankan beban mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

“Wang zakat sebagai tanda prihatin Nafas negeri selari tanggungjawab sosial agensi berkenaan membantu kesusahan penduduk yang juga terdiri daripada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini.

“Terdahulu, kerajaan negeri tidak mengabaikan kesusahan mangsa terlibat apabila menyumbangkan dana kecemasan membeli peralatan binaan termasuk bantuan makanan dan peralatan tidur,” katanya.

Menurutnya, mangsa berkenaan juga telah menerima wang zakat bernilai RM2,000 daripada Muip sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

0 comments:

share2