Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 2, 2015

AHMAD ROMZI GARANG HINGGA DAPAT GELARAN `JIN'


Ahmad Romzi


Saya hanya terbayang muka orang tua di kampung semasa terhempas ketika menjalani latihan payung terjun,” demikian kata pesara flait sarjan, Ahmad Romzi Nordin, 46.

Menurutnya, rutin latihan payung terjun bersama pelatih yang dibuat di kawasan Lapangan Terbang Kuala Terengganu pada 1993 berakhir tragedi apabila berdepan masalah angin pusar.

“Pengalaman mengerikan ketika menjadi jurulatih pasukan khas udara (Paskau) memang tak dapat dilupakan sampai sekarang dan kadang-kadang trauma juga bila ingat balik.

“Bayangkan lagi 50 kaki nak terhempas dan saya cuba sedaya upaya mendarat, tapi malangnya kedua kaki patah….terpaksa ambil masa setahun nak pulih dan kembali berkhidmat.

“Tapi pengalaman itu menjadikan saya lebih berwaspada dan ajar anak buah dengan tegas demi keselamatan mereka ketika berlatih di udara,” katanya yang sudah melatih lebih 1,700 tentera pelbagai perkhidmatan.

Ahmad Romzi sering memberi peringatan kepada anak buahnya supaya mereka sentiasa beringat walaupun sesaat kerana nyawa menjadi taruhan setiap kali menjalani latihan atau tugas di udara.

“Saya memang garang supaya mereka tak alpa dalam operasi. Garang sampaikan dapat gelaran ‘jin’ kalangan rakan seperjuangan.

“Meskipun sudah bersara sejak 2010 lalu tapi pengalaman berkhidmat dalam skuadron pertahanan darat dan udara (Handau) 10 dari 1989 sehingga 1995 sebelum menjadi jurulatih Paskau dari 1996 sehingga 2010 tak dilupakan.

“Sekarang saya kerja sendiri dan menjadi freelancer jurulatih payung terjun peribadi, namun semua kemahiran hidup komando menjadi pegangan sampai bila-bila.

Bercerita mengenai bidang kerjanya, seorang anggota Handau memiliki pelbagai kemahiran dari segi perubatan, misi mencari dan menyelamat tak kira di hutan ataupun laut serta bantuan kecemasan.

“Sebab itu, seorang anggota Handau mampu buat apa saja demi mempertahankan negara tercinta… memang sesuai sangat tema kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Sehati Sejiwa’ sebab sebati dalam diri.

“Dulu kami sehati sejiwa mempertahankan negara dan sanggup jalani latihan teruk dalam hutan…dari kecil saya lebih ke arah ketenteraan meskipun dari keluarga polis.

“Tapi bila tengok sekarang ini anak muda lebih sukakan keseronokan masa sambut merdeka dan Hari Malaysia tanpa mendalami maksud sebenar erti perjuangan untuk capai negara merdeka.

“Jangan tahu seronok saja. Belajar ingati pejuang terdahulu yang sanggup mempertahankan negara sehingga terkorban nyawa,” katanya.

0 comments:

share2