Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 2, 2015

VIRAL KADAR DENDA TRAFIK BERKUAT KUASA OGOS PALSU


JPJ


Bidor - Viral berkaitan penguatkuasaan dan kadar denda baharu ke atas pesalah trafik bermula 1 Ogos yang disebar sejak minggu lepas menerusi aplikasi media sosial WhatsApp dan Facebook adalah palsu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ariffin Che Mat berkata tiada sebarang penguatkuasaan baharu kadar demerit atau denda, dan beliau menganggap perkara itu sama seperti viral palsu lelongan awam jualan kereta yang berlaku di JPJ Perak baru-baru ini.

"Tidak sah dan tidak betul. Sebenarnya banyak lagi isu JPJ yang tidak sah sudah disebar tambahan pula JPJ giat membuat operasi pada musim perayaan baru-baru ini. Penyebar itu sendiri tidak tahu sama ada sumber itu sahih ataupun tidak.

"Pengguna aplikasi pula tiada kerja lain selain menyebarkan maklumat yang kononnya sensasi," katanya selepas merasmikan Penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Ariffin berkata kadar demerit dan denda baharu memang dalam perancangan cuma belum dilaksana dan bergantung kepada kerajaan untuk menguatkuasakannya.

"Unit Perhubungan Awam sudah memberi maklum balas menafikan viral berkenaan dan itu adalah daripada sumber yang sah.

"Tidak ada dalam undang-undang menyatakan penumpang yang duduk di sebelah pemandu jika di bawah umur 14 tahun adalah satu kesalahan, cuma yang menjadi kesalahan jika tidak memakai tali pinggang keledar," kata Ariffin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kadar kemalangan bagi tahun 2014 menurun iaitu 476,196 kes berbanding 477,204 pada 2013.

Beliau berkata penurunan berkenaan turut menyaksikan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya juga menurun iaitu 6,674 bagi tahun 2014 berbanding 6,915 pada 2013.

Mengulas program hari ini, katanya JPJ Perak mengumpulkan 598 peserta dari kawasan luar bandar untuk membantu mereka dalam urusan mendapatkan Lesen Memandu Percubaan Motosikal iaitu peserta hanya dikenakan bayaran minimum RM170.

Selain itu, beliau berharap golongan muda di Malaysia yang gemar dengan dunia permotoran menyertai Skuad Muda 1JPJ yang kini mempunyai keahlian lebih 170,000 orang.

0 comments:

share2