
Kota Bharu – The Red Warriors mengajar Johor Darul Ta’zim (JDT) bermain bola sepak dengan cara sebenar apabila menewaskan pendahulu Liga Super itu 4-1 pada pertembungan berprofil tinggi di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Bukan itu sahaja, skuad kendalian Zahasmi Ismail turut mencalarkan ego Harimau Selatan apabila berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan bimbingan Mario Gomez dalam 10 perlawanan lalu.
Kemenangan besar yang dicatatkan Kelantan itu juga turut ‘membantu’ Pahang merampas kembali gelaran peneraju takhta liga sekali gus menyaksikan pemburuan juara Liga Super musim ini semakin menarik tatkala saingan hanya tinggal dua perlawanan lagi.
Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk mendahului JDT apabila Gilmar Dos Santos Filho merembat masuk daripada jarak dekat menewaskan Mohd Farizal Marlias setelah berlaku kekalutan di depan pintu gol lawan berpunca hantaran Mohd Norfarhan Muhammad seawal minit keempat.
Ternyata jaringan tersebut memberi tekanan kepada pelawat dan tindakan bek importnya, Marcos Antonio Santos mengasari Austin Amutu di dalam kawasan berbahaya memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke -11.
Namun begitu keputusan pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin mendapat bantahan keras pemain JDT sehingga pengendali mereka, Mario Gomez meluru masuk ke padang sekali gus mencetuskan situasi tegang hampir dua minit.
Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang mengambil sepakan penalti itu tenang merembat masuk menewaskan Mohd Farizal untuk gol kedua pasukannya dua minit kemudian.
Pelawat yang tertekan dengan dua jaringan awal itu kembali mengatur serangan namun percubaan Mohd Amri Yahyah terus ke dakapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-23 disusuli rembatan Shafiq Rahim tersasar dua minit berselang.
Aksi permainan selepas itu dikuasai sepenuhnya pelawat namun segala usaha mereka untuk menembusi pintu gol tuan rumah sering kali dipatahkan benteng pertahanan yang diterajui kemas Amiridzwan Taj Tajudin dan Jonathan McKain.
Menyedari hanya jaringan sahaja mampu menaikkan kembali moral pemain mereka, Gomez akhirnya melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan penyerang, Mohd Safee Mohd Sali dan S Chanturu pada minit ke-40.
Namun sentuhan awal dua pemain baharu itu yang melancarkan serangan balas pantas seminit kemudian gagal membantu pasukannya setelah rakannya, Shafiq memilih untuk merembat serong sekali gus kedudukan 2-0 kekal pada babak pertama.
Pelawat tampak berpeluang untuk merapatkan jurang sebaik babak seterusnya bersambung dua minit kemudian namun percubaan lemah Mohd Safee di dalam kotak penalti gagal menepati sasaran.
JDT akhirnya berjaya menjadikan kedudukan 1-2 apabila pemain sayap, Mahalli Jasuli memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan dengan menolak masuk sepakan penjuru Shafiq ketika permainan memasuki minit ke-50.
Namun tuan rumah kembali menjarakkan kedudukan apabila Mohd Norfarhan menghukum kepincangan benteng pertahanan lawan apabila merembat masuk gol ketiga sekali gus menggamatkan stadium keramat pada minit ke-52.
Ketinggalan 1-3, jelas ia memberi tekanan berganda buat JDT untuk mencari jaringan tambahan apabila dua peluang terbaik dimiliki penyerang importnya, Figueroa menerusi tandukan dan sepakan percuma digagalkan Khairul Fahmi pada minit ke-61 dan 82.
Namun sebelum itu, pada minit ke-71, anak buah Zahasmi hampir meraikan jaringan keempat mereka tetapi tampanan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria hasil hantaran silang Wan Zack Haikal Wan Noor gagal menepati sasaran.
Bagaimanapun, Dos Santos Filho melengkapkan malam gemilang buat Kelantan di hadapan 6,000 penyokong setia mereka apabila menyempurnakan umpanan Mohd Norfarhan dengan merembat kencang melepasi jangkauan Mohd Farizal pada minit ke-83.

0 comments:
Post a Comment