Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 12, 2015

[JERANTUT] JABATAN PERIKANAN BAIK PULIH KOLAM TERBIAR



Jabatan Perikanan akan membaik pulih lebih banyak kolam ikan yang terbiar di seluruh negara dalam usaha menjalankan projek ternakan ikan air tawar bagi membolehkan lebih banyak hasil dikeluarkan untuk menampung keperluan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, bagi tujuan itu pihaknya memerlukan peruntukan kira-kira RM60 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) supaya lebih banyak kolam terbiar dapat diusahakan.

"Projek ikan air tawar semakin mendapat sambutan baik di kalangan rakyat sedangkan negara hanya mampu mengeluarkan kira-kira 1.9 juta tan metrik ikan air tawar setahun.

"Menjelang 2020 kita menjangkakan sebanyak 3.4 juta tan metrik ikan air tawar diperlukan berikutan pertambahan penduduk dan orang ramai pula suka memakan ikan jenis tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan sebanyak 40,000 anak ikan patin dan talapia bersama makanan ikan kepada 27 penduduk Kampung Binjai dekat sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussin.

Katanya, dengan langkah tersebut, ia diharap dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan ikan air tawar selain mengelak kebergantungan import ikan dari negara jiran.

Ismail berkata, ternakan ikan air tawar dalam kolam merupakan komponen utama pembangunan akuakultur negara dan mengikut rekod jabatan itu pada masa kini terdapat seramai 27,000 penternak akuakultur di seluruh negara.

Mengenai projek ternakan ikan air tawar di Kampung Binjai, Ismail berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan RM100,000 bagi membaik pulih sistem saluran air untuk 120 kolam ikan di kawasan seluas 54 hektar itu.

Katanya, sebanyak 15 kolam daripada 120 kolam di kampung itu telah dibaik pulih yang kini sedang diusahakan tujuh peserta dan telah mengeluarkan hasil sebanyak 10 tan metrik ikan setahun dengan pulangan pendapatan kira-kira RM500,000 ringgit.

Sebanyak 39 kolam lagi membabitkan 20 peserta dijangka dibaik pulih menjelang akhir tahun ini.




0 comments:

share2