Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 28, 2015

HANYA MAMPU LAUNG ALLAHUAKBAR


Hanya mampu laung Allahuakbar


Kuala Krai - "Allahuakbar." Hanya itu mampu diucapkan seorang suri rumah dari Simpang Tiga Bukit Sireh, Roslina Ibrahim, 41, sambil memeluk suami dan empat anaknya dalam kejadian ribut serta hujan lebat, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6.15 petang itu, sebanyak 13 rumah dan rumah kedai di sekitar Bukit Sireh serta Taman Bukit Sireh, rosak teruk dilanda ribut.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang, bagaimanapun selamat dialihkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai.

Dapur, bilik tidur kini berbumbung langit

Roslina berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga sedang berehat di anjung rumah selepas menyiapkan juadah petang, sambil menunggu waktu berbuka puasa.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas kerana hanya dalam beberapa minit hujan, bumbung dapur diterbangkan angin.

Hanya mampu laung Allahuakbar

“Kami lari ke bangunan sebelah kerana angin makin kuat.. risau keselamatan terancam. Sebaik pulang, kami tengok juadah berbuka dimasuki air,” katanya.

Menurut Roslina, dalam tempoh lapan bulan selepas menjadi mangsa banjir, dia sekeluarga diduga sekali lagi dengan kejadian ribut.

Katanya lagi, kejadian itu menyebabkan bahagian dapur dan bilik tidur rumahnya kini hanya berbumbung langit, hingga pakaian dan semua barangan di dapur basah serta rosak.

Suaminya, Ab Razak Ibrahim, 56, berkata, dia bernasib baik tidak berniaga pada hari kejadian kerana biasanya dia dan isteri berada di kedai pada waktu petang.

Bagaimanapun katanya, mereka mengalami kerugian yang agak besar kerana bahagian bumbung kedai turut musnah.

“Saya perlu sedia lebih RM30,000 untuk baik pulih kedai bagi memulakan semula perniagaan kedai makan yang dibuka beberapa tahun lalu, tapi saya bersyukur hanya kedai yang rosak teruk,” katanya.

Harap bantuan segera

Sementara itu, Pengerusi Perwakilan Penduduk Zon Bukit Sireh, Sihabidin Yusof berharap mangsa ribut di kampung berkenaan dibantu segera, agar peniaga dapat meneruskan perniagaan dan penduduk dapat tinggal di rumah yang lebih selamat.

“Saya sudah buat bancian dan mendapatkan maklumat mangsa untuk dihantar kepada jabatan berkaitan,” katanya.

Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan tersebut.

Menurutnya lagi, bantuan akan disalurkan segera kepada mangsa terlibat.

“Kita perlu berdoa agar dijauhkan daripada bencana sama ada ribut, banjir dan sebagainya.

"Banyak bergantung kepada ALLAH SWT. Jauhkan diri daripada melakukan maksiat dan perkara yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT,” katanya.

Hanya mampu laung Allahuakbar

Kenal pasti bantuan sesuai

Menurut Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Kuala Krai, Razani Hamzah pula, Pemuda Umno sudah turun padang bagi mengenal pasti bantuan untuk disalurkan kepada mangsa.

“Kita sudah hantar wakil untuk lihat keadaan di kawasan bencana, semalam (kelmarin). Kita harap mangsa bersabar dengan ujian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Puteri Umno, Zuraihah Muhammad akan berusaha membantu mangsa membersihkan kediaman masing-masing.

Menurutnya, beliau sudah melawat mangsa pada hari kejadian dan membuat lawatan kedua untuk melihat keadaan keluarga terlibat.

Turut hadir, Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Iberahim yang mengharapkan penduduk sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

0 comments:

share2