Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 3, 2015

DUA BENCANA RIBUT SELANG TIGA HARI


Dua bencana ribut selang tiga hari


Selinsing - Kejadian bencana ribut terus melanda daerah Kerian dalam tempoh dua kali berturut-turut sejak tiga hari lalu.

Terbaharu, sebanyak 11 rumah penduduk melibatkan Kampung Tebuk Haji Dollah dan Kampung Dew, di sini serta Kampung Parit 1, Tebuk Haji Musa, Parit Buntar terjejas teruk akibat bencana itu.

Manakala sebuah surau dan bengkel persendirian di Kampung Dew, di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, petang kelmarin.

Mangsa ribut, Zainab Ariffin, 72, berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dia yang berehat bersendirian di ruang tamu rumah di Kampung Tebuk Haji Dollah, terkejut apabila siling ruangan itu runtuh secara tiba-tiba manakala bumbung kediamannya diterbangkan angin.

Menurutnya, ketika itu dia yang duduk di sofa tidak mampu bergerak dan hanya memandangkan sebahagian besar siling yang jatuh hampir mengenai tubuhnya.

“Setelah melihat angin pusaran itu beralih ke laluan lain, saya segera berlari ke rumah anak yang berada di belakang rumah saya untuk meminta pertolongan,” katanya sewaktu diziarahi pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.

Zainab berkata, ketika kejadian berlaku, dia hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan menangis kerana menyangka ajalnya sudah sampai.

"Bencana yang melanda rumah saya kali ini kejadian paling teruk pernah dihadapinya meskipun rumah ini pernah dilanda ribut sebelum ini," katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Mohd Hata Ashari, 45, berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan sebatang pokok petai setinggi kira-kira 4.5 meter tumbang dan menghempap bahagian dapur rumahnya.

Jelasnya, sewaktu kejadia, dia dan isteri menjalankan perniagaan makanan di premis hadapan rumah mereka sebelum menyedari angin kencang luar biasa yang melanda kawasan itu.

“Ketika itu, kami bimbang kemungkinan terdapat sebuah pokok rendang yang terletak bersebelahan premis kedai makan kami tumbang.

“Kami terkejut terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah dan apabila saya meninjau bahagian belakang, didapati sebatang pokok petai tumbang dan menghempap bahagian dapur rumah,” katanya.


Pegawai pusat khidmat diarah turun padang

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali sewaktu ditemui bersimpati dengan nasib kesemua mangsa ribut dan menegaskan kejadian bencana alam itu berlaku kali kedua di Parlimen Bagan Serai dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, prihatin dengan nasib mangsa ribut, pihaknya mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai diketuai Pegawai Khasnya, Noor Azman Ghazali untuk meninjau keadaan rumah mereka dengan segera.

“Berikutan itu, kami menyalurkan sumbangan kilat wang tunai dan barangan keperluan kepada setiap mangsa yang terlibat untuk meringankan beban mereka.

“Meskipun kejadian ribut itu memberi impak negatif kepada mangsa, saya bersyukur tiada berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa dalam bencana itu,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, kesemua rumah dan bangunan dilanda ribut di Mukim Selinsing itu akan dibaik pulih dalam tempoh segera.

Jelasnya, beliau menganggarkan peruntukan baik pulih rumah untuk setiap kediaman mangsa ribut bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung pada kadar kerosakan.

“Kami memandang serius kekerapan berlaku kejadian ribut di sekitar Parlimen Bagan Serai dan mengarahkan kontraktor dilantik menggunakan bahan bermutu dalam memastikan kerja membaik pulih rumah mangsa ribut mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya.


Hilang keseluruhan bumbung

Dalam pada itu, di kawasan Parit Buntar, terdapat sebuah rumah didiami dua beranak hilang keseluruhan bumbung rumah setelah dilanda ribut kencang di Parit 1, Kampung Tebuk Haji Musa, di sini petang kelmarin.

Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain berkata, sewaktu kejadian berlaku, rumah yang didiami seorang ibu tunggal dan anak lelakinya tidak berpenghuni.

Menurutnya, bencana yang melanda rumah mangsa menyebabkan keseluruhan bumbung kediaman itu hilang dalam tempoh tidak sampai lima minit.

“Saya bersama jawatankuasa Pas kawasan Parit Buntar segera meninjau keadaan rumah mangsa dan menyalurkan sumbangan wang tunai untuk membantu meringankan beban mereka.

“Pada masa sama, kami akan memanjangkan masalah dihadapi keluarga mangsa kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi membolehkan bantuan baik pulih rumah dapat dilaksanakan segera,” katanya.

0 comments:

share2