Terperangkap dalam dunia asing berlatarbelakangkan era 80-an dengan gangguan makhluk aneh lagi menakutkan tentu membuahkan keliru di hati seseorang. Apatah lagi menyedari bahawa setiap pergerakan seolah-olah diperhatikan roh halus yang tidak tenteram di alamnya.
Itulah cerita yang ingin ditampilkan dalam filem terbaharu berjudul CCTV, sebuah filem bergenre seram yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Julai lalu.
Biarpun sudah terlalu banyak filem bergenre sedemikian dimainkan di pawagam sebelum ini, namun syarikat produksi Cinemaya Studios Sdn Bhd dan Victory Film Production Sdn Bhd, ingin mempersembahkan kelainan tersendiri dalam filem pertama terbitan mereka.
Naskhah filem yang mendapat arahan Daven R ini, bermula dengan kisah mengenai seorang lelaki, Hariri (Airel Zafrel) yang bekerja sebagai juruteknik kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau mendapat arahan daripada ketuanya untuk membaiki kerosakan CCTV di sebuah hospital dan dalam perjalanan ke hospital tersebut pelbagai situasi kurang menyenangkan berlaku yang menyebabkan Hariri berdebar untuk menjalankan tugasnya.
Nasib malang menimpa apabila Hariri terjatuh dari tangga yang tiba-tiba bergegar tanpa sebab lalu dimasukkan ke wad hospital tersebut. Bermulalah rentetan peristiwa menyeramkan lagi aneh sekali gus membuatkan Airel keliru akan keberadaannya ketika itu.
Berdepan dengan doktor psiko lakonan Hasnol Rahmat juga suatu ujian buat Hariri ditambah keadaan hospital yang menyeramkan. Hariri nekad mencari jawapan dan rakaman CCTV membongkar segala-galanya.
Apakah kesudahan cerita ini dan di manakah sebenarnya Hariri berada? Mengapa bayangan-bayangan yang menjelma di pandangannya seakan menceritakan sesuatu yang pernah berlaku di hospital tersebut? Ketahuinya dengan menonton filem ini di pawagam.
Lakonan mantap Airel Zafrel dan Hasnol Rahmat
Bagi penulis, skrip garapan Daven ini mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri. Meski pun tidak dinyatakan secara jelas latar belakang kejadian filem ini, namun penonton yang berfikiran kritis boleh mengetahui bahawa ia berlaku pada suatu zaman dahulu berdasarkan persekitaran dan prop.
Pelakon, Airel berjaya meletakkan satu perasaan keliru yang dapat dibaca penonton tetapi tidak disedari olehnya. Tiada apa yang dapat dipertikai dari segi lakonan teraju utama filem ini, malah watak sampingan seorang doktor psiko lakonan Hasnol Rahmat juga wajar dipuji.
Penampilan doktor psiko yang aneh dan sanggup melakukan aksi terkutuk dengan merogol mayat wanita juga menimbulkan rasa marah dan pertanyaan penonton tentang apa sebenarnya berlaku di hospital tersebut.
Kehadiran Hariri sebagai pesakit di sana sebenarnya satu penyebab untuk membongkar kisah silam yang berlaku dalam hospital yang musnah akibat kebakaran itu.
Babak pertama yang menonjolkan bayangan berambut panjang dan hitam benar-benar menguji perasaan takut penulis. Momok yang diterjemahkan pengarah memang menjadi dan terus-terang, penulis masih ingat kelibat itu dan merasa seramnya sehingga hari ini. Bagi penonton yang penakut, awas di babak pertama kerana filem ini bakal menguji kekuatan mental anda!
Beza dua dunia
Filem yang menelan belanja RM1.3 juta ini, menjalani penggambaran di sekitar Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur. Tidak banyak yang boleh dikomen berdasarkan mutu lakonan pelakon baharu seperti Ardel Aryana dan Asliza Abdullah, namun kedua-duanya telah melakukan yang terbaik dalam menghayati watak masing-masing.
Secara keseluruhannya, filem CCTV membawa penonton untuk berfikir mengenai perbezaan dua dunia, antara realiti dan fantasi. Tempoh masa yang berlaku di dunia nyata tidak sama dengan dunia yang dihuni makhluk lain. Tontoni filem ini untuk merasai sendiri kelainannya.
0 comments:
Post a Comment