Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 27, 2015

BERSIH 4.0: HURU-HARA DIJANGKA BERLAKU


Nur Jazlan Mohamed


Shah Alam - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan wujudnya kumpulan yang akan mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 bermula Jumaat hingga Sabtu ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan anarki dalam perhimpunan haram berkenaan bertujuan mencetuskan provakasi terhadap polis supaya kekerasan boleh digunakan terhadap peserta. 

“Provokasi ditimbulkan agar polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.

“Saya melihat persamaan dengan perhimpunan Bersih pada 2012, di mana pemimpin Bersih ketika itu penyertaan parti politik pembangkang sudah merosakkan matlamat untuk berhimpun secara aman apabila tercetusnya kekacauan.

“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan itu sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” ujarnya.

Menurut beliau, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.

“Jutaan ringgit terpaksa dibelanjakan kerajaan, berikutan perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan,” jelasnya.

Katanya lagi, motif berhimpun itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kemerdekaan adalah demi kepentingan segelintir pihak yang jelas mengenepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.

“Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 ini kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara.

“Atas sebab itu, polis tidak bersetuju dengan kaedah demontrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila menanggung kecederaan dan berlaku kerosakan harta benda serta,” katanya.

0 comments:

share2