Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 3, 2015

(BENTONG) BOMBA BAKAL ADA ASET LENGKAP


Bomba bakal ada aset lengkap


Menjelang 2020, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memiliki aset lengkap dan canggih bersesuaian dengan negara maju.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pada tahun hadapan, JBPM bakal menerima dua lagi helikopter jenis Mi17 yang boleh digunakan untuk pelbagai operasi.

Selain itu, jabatan berkenaan juga akan memiliki aset yang mencukupi apabila kesemua kelengkapan termasuk 200 jentera bomba baharu akan diterima sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Kita sudah membuat perolehan tiga tahun dahulu dan ini tahun terakhir kita akan menerima kesemua 200 jentera dan 200 ambulans serta 100 tangki air.

“Bagi pembelian helikopter baharu pula kita sedang mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan helikopter buatan Rusia itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri JBPM peringkat negeri di Balai Bomba Bentong di sini kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen, Datuk Sri Liow Tiong Lai, Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik.

Menurutnya, pada masa ini JBPM mempunyai empat helikopter buatan Rusia yang boleh digunakan dalam pelbagai operasi khususnya operasi berat.

Katanya, pembelian aset baharu ini amat penting dan signifikan dalam meningkatkan lagi keberkesanan operasi menyelamat yang dilakukan jabatan itu.

Tambahnya, perolehan jentera bomba yang baharu membolehkan setiap balai bomba di negara akan mempunyai sekurang-kurangnya dua jentera bomba pada tahun hadapan.

Beliau juga berkata, JBPM mensasar mewujudkan kira-kira 150 balai bomba baharu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lagi amat signifikan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan pantas kepada masyarakat setempat.

“Kesemua balai bomba baharu berkenaan akan dibina di kawasan strategik yang mampu meningkatkan lagi keberkesanan operasi bomba khususnya dalam memadamkan kebakaran.

“Di negara maju mereka mempunyai taburan balai bomba yang baik dan strategik. Apabila berlaku kecemasan mereka dapat respons dengan cepat seterusnya mengurangkan kesan dari segi kerugian atau kehilangan nyawa akibat kebakaran,” katanya.

0 comments:

share2